Kurator Berita : Darul Quran
18 November 2021 - Timbalan Pengarah Cawangan Kualiti Darul Quran, Ustaz Abdul Halem Hapiz Solihin berserta delegasi lima orang pegawai DQ telah berjaya mengadakan lawatan akademik ke Universiti of Cyberjaya (UoC) dalam misi memperkasakan hubungan dan kerjasama antara DQ dan UoC. Tujuan utama lawatan ini adalah untuk membincangkan strategi yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan jumlah pelajar yang lulus dan tamat pengajian program Pensijilan Tahfiz JAKIM-UOC yang telah berjalan semenjak tahun 2014.

Pada lawatan kali ini, Naib Canselor Universiti of Cyberjaya, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak berkesudian menyambut kehadiran delegasi lawatan seterusnya meluangkan masa bersama-sama sepanjang majlis lawatan berlangsung. Sempena lawatan ini, kedua-dua institusi berkesempatan mengadakan sesi perbincangan dan bertukar-tukar pandangan mengenai hala tuju program tahfiz serta cadangan penambahbaikan program. Terutamanya dari aspek pengurusan dan aktiviti pelajar seperti laporan prestasi hafazan secara berkala, kelas intensif hujung minggu atau pada musim cuti semester serta kem hafazan bagi meningkatkan prestasi hafazan pelajar dari masa ke semasa.

Naib Canselor UoC telah mezahirkan rasa sukacita di atas lawatan ini dan berharap agar program tahfiz ini lebih berdaya maju pada masa akan datang dalam melahirkan huffaz professional yang bakal menerajui kepimpinan negara suatu hari nanti. Darul Quran merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Universiti of Cyberjaya di atas kerjasama yang diberikan dan majlis di akhiri dengan penyampaian cenderahati antara kedua institusi.

Lawatan Akademik Darul Quran Ke Universiti Of Cyberjaya