Kurator Berita : Unit Komunikasi Korporat
SABAH : 17 Disember. Golongan asnaf dan yang terkesan dengan Covid-19 di Negeri Bawah Bayu, Sabah pada hari ini telah menerima bantuan sempena Program Ziarah Musaadah Menyantuni Asnaf Penduduk di Pulau Mabul, Semporna, Kalabakan, Merotai dan Pulau Sebatik Sabah.

Program yang diadakan bermula pada 17 hingga 20 Disember 2021 ini adalah anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Wakil-wakil tetap Sekretariat Dakwah Korporat JAKIM antaranya Lembaga Tabung Haji, Pos Malaysia Berhad, Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad, Malaysia Airlines System (MAS). dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan. Sumbangan ini telah disampaikan oleh Tuan Haji Ruslan bin Said, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM.

Menurut beliau, Program ini merupakan antara program yang dirancang di bawah Bahagian Dakwah JAKIM bagi tahun 2021 anjuran Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) JAKIM. Ziarah Ukhwah ini juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim di antara agensi agama khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Government-Linked Companies (GLCs) bersama masyarakat setempat di samping menyampaikan sumbangan kepada asnaf dan Penduduk terkesan COVID-19.

Program SDK JAKIM dengan kerjasama Masjid Negara dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan telah mengenal pasti bentuk bantuan yang akan disampaikan berserta penerima-penerima yang layak menerima sumbangan. Saya juga difahamkan sumbangan ini akan diberikan juga pada pihak Masjid yang berada di pulau ini. Semoga bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dalam menghadapi cabaran dalam era pandemic Covid-19.. Turut hadir dalam program ini adalah Imam Besar Masjid Negara, Tuan Haji Ehsan bin Mohd Hosni.

Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM itu berkata Program seumpama ini amat bersesuaian dengan hasrat YB. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang telah melancarkan Skuad Musaadah Keluarga Malaysia pada 7 Disember 2021 di Kompleks Islam Putrajaya. Pelancaran skuad musaadah ini amat sesuai dalam keadaan negara dan rakyat masih berada dalam pandemik Covid-19 yang sedikit sebanyak telah memberikan kesan kepada masyarakat bukan hanya di negara kita saja bahkan di seluruh dunia.

Program Ziarah Musaadah ini juga diserikan dengan pengisian rohani oleh PU Rozi wakil Syarikat MAS melalui slot Kuliah Maghrib dan disiarkan secara langsung di Facebook Rasmi JAKIM.

Inisiatif murni Program SDK JAKIM dengan kerjasama Masjid Negara dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan ini adalah manifestasi dari pendekatan Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri. Semoga program sebegini akan dapat diteruskan lagi di masa hadapan demi kebaikan golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

SDK JAKIM Menyantuni Masyarakat Negeri di Bawah Bayu 1

SDK JAKIM Menyantuni Masyarakat Negeri di Bawah Bayu 3

SDK JAKIM Menyantuni Masyarakat Negeri di Bawah Bayu 4