Kurator Berita : Pejabat Ketua Pengarah

KUALA LIPIS : 9 Julai, Bantuan Tabung Musa'adah Covid-19 JAKIM terus dilebarkan manfaatnya kepada golongan yang terjejas akibat Covid-19. Kali ini, bantuan tersebut disampaikan kepada masyarakat Orang Asli di pedalaman Kuala Lipis, Pahang. Sebanyak 88 keluarga Orang Asli yang terdiri daripada 50 keluarga masyarakat Orang Asli di POS Titom dan 38 keluarga di POS Sop di sini.

Ekspedisi POS Titom kali ini sangat bermakna apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Tuan Haji Ahmad Marzuk bin Shaary yang turut bersama-sama merasai jerit perih meredah belantara untuk sampai ke perkampungan Orang Asli. Alhamdulillah, hasil usaha gigih dakwah Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA), JAKIM sekian lama di Kuala Lipis, Tok Batin POS Titom, Encik Ramli bin Minhat secara tidak dirancang telah menyatakan hasrat beliau untuk memeluk agama Islam kepada YB Timbalan Menteri. Batin Ramli telah mengetuai Majlis Syahadah bersama 7 orang saudara baru dalam kalangan Orang Asli untuk kembali kepada agama fitrah yang telah disaksikan oleh YB Timbalan Menteri.

Program kali ini melibatkan sinergi pelbagai jabatan dan agensi seperti Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Jabatan Kemajuan Orang Asli(JAKOA), PDRM, RTM dan banyak lagi.Turut menyertai ekspedisi kali ini ialah Pengarah Kanan ILIM yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Dr Nordin Ahmad serta Tuan Haji Aziz b. Mohamad, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM. JAIP dan JAKOA pula masing-masing diwakili oleh Tuan Haji Fadhli dan Encik Ridwan.

Perjalanan menggunakan pacuan empat roda yang sangat mencabar memakan masa hampir 3 jam dari Sungai Koyan menuju ke Pos Titom memberi pengalaman yang bermakna kepada ahli-ahli ekspedisi. Usaha menyantuni masyarakat Orang Asli bagi menzahirkan kesyumulan Islam serta peningkatan kefahaman dan penghayatan Islam kepada saudara baru ini akan terus dijadikan fokus oleh JAKIM bersama agensi-agensi lain yang berkaitan.

pos titom 1

pos titom 2

pos titom 3