Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi 1 Julai – Program Sijil Intensif Hal Ehwal Islam skim perkhidmatan hal ehwal Islam Gred S19 lantikan baharu, JAKIM julung-julung kali yang dilaksanakan selama 3 minggu bermula 13 Jun hingga 1 Julai 2022 di Institut Latihan Islam Malaysia hari ini mula melabuhkan tirainya. Program ini melibatkan seramai 75 orang penyertaan dari pelbagai agensi dan jabatan iaitu PDRM, AADK, JAWI, PENJARA, JAKIM, JKM, JAWHAR, Pejabat Mufti, KBS dan KKM. Program ini merupakan program yang wajib dihadiri dan sebagai syarat pengesahan mereka dalam perkhidmatan hal ehwal Islam.

YBhg Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee sebagai mewakili Ketua Pengarah JAKIM, telah menyempurnakan majlis perasmian penutup program menyebut tiga (3) perkara yang perlu dihayati dan dipraktikkan iaitu sentiasa mematuhi arahan, wujudkan sikap hormat menghormati kepada sesiapa sahaja serta menjaga imej dan nama baik jabatan agar perkhidmatan hal ehwal Islam sentiasa dijaga dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Turut hadir dalam majlis ini ialah YBrs. Tuan Haji Aminuddin bin Mohamad, Pengarah Kanan ILIM, YBrs. Ustazah Adawiah binti Lias, Timbalan Pengarah Cawangan Pembangunan Kompetensi, ILIM, YBrs. Ustazah Zaizurina binti Mansor, Timbalan Pengarah Cawangan Pembangunan Profesional ILIM serta pegawai-pegawai kanan ILIM.

Semoga para peserta dapat menambah pengetahuan dan mengaplikasikan pelbagai skill kemahiran yang berkaitan pengurusan hal ehwal Islam dan pengurusan pentadbiran bagi meningkatkan kompetensi dalam tugasan sebagai kader di agensi masing-masing demi merealisasikan visi dan misi JAKIM ke arah memperkasakan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.