Kurator Berita : Unit Komunikasi Korporat, Bahagian Dasar Kemajuan Islam
Tanggal 6 Mac 2023 telah mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila buat julung kalinya Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bermesyuarat dalam sidang yang dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Hal ini selaras dengan pemakaian Peraturan-Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia 2022 yang telah diperkenankan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-258 pada 9 dan 10 Mac 2022, yang memperuntukkan Pengerusi MKI dipilih oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dalam kalangan Raja Pemerintah, manakala YAB Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengerusi. Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-258 juga telah berkenan melantik Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Pengerusi MKI bagi tempoh dua tahun. Dengan pemakaian Peraturan-Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia 2022 ini juga telah membatalkan Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia 1968.

Dalam titah ucapan pengerusi, Duli Yang Maha Mulia Tuanku menzahirkan ucapan kesyukuran atas penghormatan yang diberikan untuk Baginda memegang amanah sebagai Pengerusi MKI yang baharu, dan Baginda memberikan komitmen untuk menggalas tugas ini dengan sedaya upaya Baginda serta penuh rasa tanggungjawab.

Baginda seterusnya menzahirkan harapan agar hubungan kerjasama antara persekutuan dan negeri-negeri dalam hal ehwal pentadbiran Islam akan terjalin dengan lebih erat selari dengan tuntutan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Baginda turut berpesan kepada ahli-ahli majlis agar sentiasa menghormati pandangan negeri-negeri dan menjaga hubungan baik antara persekutuan dengan negeri, agar pentadbiran agama Islam di negara ini dapat berjalan dengan licin dan penuh persefahaman.

Ia selari dengan hasrat Majlis Raja-Raja yang telah menzahirkan persetujuan untuk memperkasakan semula peranan MKI sebagai sebuah institusi bertanggungjawab menasihati Raja-Raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus agama Islam di peringkat persekutuan. Usaha ini amat penting agar MKI mampu mengimbangi antara kuasa, hak dan peranan Raja-Raja Melayu dalam hal ehwal Islam peringkat persekutuan serta menjaga hubungan baik dengan negeri-negeri. Usaha ini juga bertujuan memenuhi aspirasi umat Islam di Malaysia terutama yang berkaitan dengan dasar dalam bidang pengurusan, perundangan, pendidikan Islam dan penyelarasan fatwa.

Mesyuarat MKI kali ke-69 yang berlangsung pada 6 Mac 2023 di Istana Melawati, Putrajaya turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia selaku Timbalan Pengerusi MKI, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff Ketua Pengarah JAKIM yang juga merupakan Setiausaha MKI, ahli-ahli MKI yang mewakili negeri-negeri seluruh Malaysia, ahli-ahli ex-officio serta ahli-ahli yang dilantik.

Sejarah Tercipta Pada Sidang MKI Ke 6 1

Sejarah Tercipta Pada Sidang MKI Ke 6 2

Sejarah Tercipta Pada Sidang MKI Ke 6 3

Sejarah Tercipta Pada Sidang MKI Ke 6 4

Sejarah Tercipta Pada Sidang MKI Ke 6 5

Sejarah Tercipta Pada Sidang MKI Ke 6 6

Sejarah Tercipta Pada Sidang MKI Ke 6 7

Sejarah Tercipta Pada Sidang MKI Ke 6 8

Sejarah Tercipta Pada Sidang MKI Ke 6 9

Sejarah Tercipta Pada Sidang MKI Ke 6 10