Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
BANGI, 14 hingga 16 Mac 2023 : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) telah menganjurkan Kursus Training Of Trainers (TOT) Modul Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK) bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi. Penganjuran kursus ini merupakan satu bentuk latihan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan para peserta dalam memberi perkhidmatan yang lebih profesional bagi membantu menyelesaikan masalah sosial dan kekeluargaan.

Penyertaan program ini melibatkan seramai 37 orang peserta dalam kalangan fasilitator KSKCareCentre Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan juga fasilitator PKKSK Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) Zon Tengah.

Program 3 hari ini memberi pendedahan kandungan 10 modul PKKSK iaitu modul pengukuhan aqidah, kehamilan dan kelahiran, kemahiran keibubapaan, pendidikan kanak-kanak, pembangunan remaja, pengurusan konflik keluarga, interaksi kejiranan, khidmat nasihat komuniti, pemerkasaan saudara muslim dan kasih ke syurga (warga emas).

Perkongsian ilmu yang disampaikan oleh penceramah jemputan yang juga merupakan penggubal modul yang pakar dalam bidang masing-masing telah membuka minda para peserta dalam mempersiapkan ilmu dan kemahiran dalam proses tolong bantu kepada masyarakat yang berhadapan dengan masalah kehidupan dengan cara yang terbaik.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd. Norizan bin Abd. Ghani, Pengarah Bahagian KSK JAKIM. Turut hadir sama Ustazah Nor Hanim Abdul Halim, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian KSK JAKIM dan Ustazah Sabariah binti Salleh, Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang juga merupakan penceramah jemputan.

Dalam ucapan beliau meletakkan harapan agar perkongsian ilmu sepanjang tempoh kursus ini dapat memberi panduan kepada peserta dalam melaksanakan khidmat nasihat kepada klien. Semoga usaha ini mencapai objektif untuk mensejahterakan masyarakat dan mendapat keredhaan Allah SWT.

Kursus TOT Modul PKKSK 1

Kursus TOT Modul PKKSK 2

Kursus TOT Modul PKKSK 3

Kursus TOT Modul PKKSK 4

Kursus TOT Modul PKKSK 5

Kursus TOT Modul PKKSK 6