Kurator Berita : Bahagian Keurusetiaan & Hubungan Luar
KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Istana Negara dan Bank Islam Malaysia Berhad telah berjaya merealisasikan penganjuran Siaran Langsung Forum Perdana Ehwal Islam Diraja bertemakan Institusi Diraja Penyatuan Ummah pada 11 Januari 2024 bertempat di Istana Negara, Kuala Lumpur dan disiarkan menerusi saluran TV1 RTM selama 1 jam 30 minit.

Raja adalah simbol kedaulatan, kemakmuran, perpaduan, keharmonian dan kekuatan sesebuah masyarakat. Institusi diraja menyatukan kumpulan etnik dalam kalangan komuniti yang berbeza dan pelbagai di bawah frasa kesetiaan dan ketaatan secara bersama kepada raja dan negara. Malah dalam konteks negara kita, kesetiaan kepada raja penting kerana ia adalah baja kepada semangat patriotisme.

Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj yang telah memberi perkenan berangkat ke forum ini.

Antara pemimpin dan agensi yang turut hadir memeriahkan majlis ilmu ini ialah Yang Di-Pertuan Dewan Rakyat, YB Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Menteri Komunikasi dan YB Menteri Kewangan, Ketua Setiausaha Negara, Ketua-ketua Setiausaha, Ketua-ketua Perkhidmatan, Ketua Pengarah JAKIM, SS Mufti-mufti Negeri, Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Agama Islam Negeri dan pegawai-pegawai kanan JAKIM.

Perbincangan forum kali ini telah menampilkan tiga orang ahli panel iaitu Sahibus Sa'adah YBhg. Dato' Haji Badli Shah Alaudin, Timbalan Mufti Pahang, YBhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Izhar Ariff bin Mohd. Kashim, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia dan YBrs. Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail, Pensyarah Universiti Malaya manakala Ustaz Zakaria bin Othman selaku moderator.

Semoga majlis ilmu seumpama ini akan terus disuburkan dan amatlah diharapkan segala limpah keberkatan daripada Allah SWT jua.

Forum Perdana Ehwal Islam Diraja 1

Forum Perdana Ehwal Islam Diraja 2

Forum Perdana Ehwal Islam Diraja 3

Forum Perdana Ehwal Islam Diraja 4

Forum Perdana Ehwal Islam Diraja 5

Forum Perdana Ehwal Islam Diraja 6

Forum Perdana Ehwal Islam Diraja 7

Forum Perdana Ehwal Islam Diraja 8

Forum Perdana Ehwal Islam Diraja 9

Forum Perdana Ehwal Islam Diraja 10