Bengkel Penataran Format Instrumen Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) Mulai Tahun 2024 telah diadakan pada 14-15 Mei 2024 bertempat di Hotel New York, Johor Bahru dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ). Bengkel tersebut telah dirasmikan oleh Tuan Mohd Fadzil bin Abi Kasim, Pengarah Bahagian Pendidikan JAKIM. Penataran format ini merupakan lembaran baharu buat Program KAFA setelah penggunaan format UPKK sedia ada selama 30 tahun. Format tersebut telah dikaji semula dan dibangunkan oleh Unit Peperiksaan, Bahagian Pendidikan JAKIM bersama panel lantikan daripada agensi luar berdasarkan Kurikulum KAFA 2.0 yang telah dilaksanakan bagi kohort pertama calon UPKK 2024. Setelah melalui beberapa peringkat penilaian, format ini telah dibentang dan diluluskan di Persidangan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam (JPPIK) Kali Ke-60 pada 25 April 2024. Di antara penekanan utama dalam perekaan bentuk format adalah perkara asas dalam al-Quran dan Fardu Ain sejajar dengan pembentukan kemenjadian murid KAFA. Oleh yang demikian, bengkel ini diharap dapat memberikan input format sepenuhnya kepada Pegawai-pegawai Kanan, Pegawai-pegawai, Penyelia-Penyelia KAFA seluruh negeri yang terlibat dalam pengurusan UPKK supaya pelaksanaannya berjalan dengan lancar dan teratur.





