Kurator Berita : Bahagian Penerbitan
24 Mei – 2 Jun 2024 (Jumaat – Ahad) – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Penerbitan selaku penyelaras penyertaan agensi hal ehwal agama dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Kali Ke-41 Tahun 2024 (PBAKL24) dengan kerjasama semua agensi di bawah Yang Berhormat (YB) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama (HEA)) telah menjayakan Program Ekspo Buku dan Pameran Agensi Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena PBAKL24. Keterujaan program ini amat dirasai selama 10 hari mulai 10.00 pagi hingga 10.00 malam bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Program yang julung-julung kalinya disertai secara bersama oleh 12 agensi hal ehwal agama ini merupakan cetusan idea daripada YB Menteri di JPM (HEA) semasa menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Baharu, Pakej Promosi Kombo dan Penyerahan Sumbangan Wakaf Buku Terbitan JAKIM sempena PBAKL23 pada 3 Jun 2023. Beliau mencadangkan agar kesemua agensi bergabung secara kolektif dalam PBAKL24 dengan harapan supaya niche area yang pelbagai di samping kekuatan berbeza yang dimiliki oleh setiap agensi boleh saling melengkapi demi mencapai satu matlamat melahirkan masyarakat madani yang berbudaya ilmu serta berakal budi tinggi selaras dengan Teras 1, Fokus 2 Pelan Transformasi Al-Falah 2023 – 2027.

Program ini bermatlamat memperluas jaringan dan kolaborasi agensi bersama pihak berkaitan dalam bidang penerbitan, percetakan dan pengedaran buku di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Selain itu, program ini juga bertujuan mempromosi dan menjual bahan-bahan terbitan agensi kepada khalayak yang lebih ramai dan terbuka di samping meningkatkan hasil jualan buku melalui aktiviti ekspo di luar pejabat selain memperkenalkan buku-buku baharu serta perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh agensi di samping meneroka peluang menjalinkan kerjasama strategik bersama badan-badan penerbitan, percetakan, pengedaran dan pembekal buku.

Misi kebersamaan agensi pada kali ini diterjemahkan melalui pembinaan Pavilion Al-Falah. Pavilion tersebut adalah binaan khas yang dibangunkan di Dewan Merdeka, Aras 4, WTCKL berkonsepkan ‘one stop centre’. Ia menempatkan kesemua reruai agensi hal ehwal agama di bawah satu (1) bumbung yang membawa mesej kesatuan dengan tema “Bersama Mencapai Kejayaan” sempena PBAKL24. Jika sebelum ini, penyertaan agensi-agensi di PBAKL adalah secara berasingan namun, pada tahun ini misi kesatuan seperti yang dihasratkan oleh YB Menteri di JPM (HEA) berjaya direalisasikan. Pemilihan kata nama ‘Al-Falah’ pula adalah menepati falsafah dan pengertian lafaz azan dalam solat lima (5) waktu yang menyeru ummah untuk bersama menuju kejayaan dalam segenap aspek kehidupan. Selain itu, kalimah ini juga merupakan aspirasi yang menggerakkan Pelan Transformasi Al-Falah selari dengan gagasan Malaysia Madani.

Sepanjang tempoh PBAKL24 berlangsung, 37 aktiviti telah berjaya dilaksanakan di Pentas Al-Falah termasuklah aktiviti perkongsian ilmu, kuiz bersama pelanggan, resensi buku, wacana inspirasi, pertandingan meneka berat buku, cabutan bertuah, anugerah pembeli buku dengan nilai tertinggi termasuklah Majlis Perasmian Pavilion dan Pelancaran Buku Baharu Terbitan Agensi Hal Ehwal Agama Tahun 2024 yang disempurnakan oleh YB Menteri di JPM (HEA) pada hari Jumaat, 31 Mei 2024 di Pentas Utama PBAKL24. Sejumlah 13 judul buku baharu telah dilancarkan melibatkan lima (5) agensi iaitu JAKIM, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan TV Al-Hijrah (TVAH). Dalam majlis yang sama, YB Menteri turut mengedarkan 20 set buku wakaf yang bernilai RM31,200 terbitan JAKIM melalui projek kerjasama antara JAKIM dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) kepada masjid negeri seluruh Malaysia, masjid-masjid utama dan pusat-pusat latihan di bawah JAKIM.

Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai matlamat dan objektif yang telah ditetapkan di samping turut berjaya menarik hampir 17,000 pengunjung untuk hadir ke pavilion selain turut menyumbang kepada pencapaian hasil jualan buku serta jumlah naskhah jualan yang melepasi sasaran yang telah ditetapkan. Pencapaian yang memberangsangkan ini akan menjadi tanda aras kepada kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang. Hal ini selari dengan petikan ucapan perasmian oleh YB Menteri di JPM (HEA) menyatakan: “Saya percaya penerbitan yang dihasilkan oleh Agensi-agensi Pengurusan Hal Ehwal Islam seperti bahan-bahan terbitan JAKIM, YADIM, IKIM, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan TV Al-Hijrah dan yang lainnya sudah berada pada kelas yang tersendiri dan mendapat kepercayaan masyarakat. Saya percaya buku-buku yang berkualiti serta kreatif terbitan agensi Islam, satu hari nanti boleh diketengahkan di pesta-pesta buku peringkat negara serantau seperti negara-negara MABIMS dan antarabangsa”.


Slide1

Slide2

Slide3

Slide5

Slide6

Slide7

Slide8

Slide9

Slide10