22 Jun 2024 – Seramai 190 orang pelajar Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran JAKIM telah diraikan dalam Majlis Khatam Hafazan al-Quran yang berlangsung di Dewan Muktamar, Darul Quran. Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Pengarah Darul Quran, Haji Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim. Dalam ucapannya beliau telah merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang diraikan kerana telah berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran. Para pelajar ini terdiri daripada empat institusi yang berkolaborasi bersama Darul Quran iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), University of Cyberjaya (UoC) dan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA).
Upacara khatam dimulakan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dari Surah al-Dhuha hingga Surah al-Nas oleh pelajar banin (lelaki) yang dipimpin oleh Ustaz Mohamad Norhazimin bin Mohd Bukhari, Ustaz Mohammad Sayuti bin Idris dan Ustaz Amirul Arif bin Mohd Kamel. Acara diteruskan dengan penyampaian Tausiah Huffaz oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Marzuqi bin Abdul Rahim, Pensyarah UPSI merangkap alumni Darul Quran serta ucapan wakil pelajar.
Majlis ini juga menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah bagi menghargai pencapaian cemerlang para pelajar dan pensyarah. Antara anugerah yang disampaikan adalah Anugerah Pensyarah Tasmik Cemerlang, Anugerah Pelajar Cemerlang, Anugerah Penulisan Tahriri Terbaik dan Anugerah Khas.
Majlis ini menzahirkan komitmen JAKIM dalam melahirkan generasi huffaz yang berilmu serta berakhlak mulia, seiring dengan hasrat negara membentuk masyarakat madani yang berteraskan al-Quran dan Sunnah.



















