KUALA LUMPUR, 27 JULAI 2024 – Alhamdulillah telah berlangsung Bengkel Manual 'Ilaj Home Siri 1/2024 anjuran bersama Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM dan Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI pada 27 Julai, Sabtu bermula jam 8.30 pagi sehingga 1.00 tengahari.
Bengkel ini diadakan di Dewan Serbaguna, 'Ilaj Home yang melibatkan seramai 15 orang peserta yang terdiri daripada pegawai daripada Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI dan pengurusan 'Ilaj Home.
2 orang penceramah telah menyampaikan pengisian iaitu Prof. Dr. Che Zarrina binti Sa'ari, Profesor di Jabatan Aqidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan Tuan Haji Abu Bakar Lajis, pesara daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Kedua-dua mereka juga merupakan panel penggubal Manual 'Ilaj Home. Para peserta didedahkan dengan modul psikospiritual Islam dan kaedah penyaringan klien seperti yang terkandung di dalam Manual 'Ilaj Home.
Bengkel ini telah dirasmikan oleh YBhg. Ustazah Noor Haliza binti Ali, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM mewakili Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM.
Bengkel ini turut dihadiri Ustazah Imlah binti Abdul Aziz, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI, Ustazah Suriati binti Alias, Ketua Penolong Pengarah,Bahagian Pengurusan Dakwah, Ustazah Mazliza Suriayana binti Dollah, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI, Ustazah Siti Zuraima binti Bujang, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI dan Dr. Mohd Izwan bin Md Yusof, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM merangkap penyelaras program.
Diharapkan, para peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam menyantuni klien 'Ilaj Home dan membimbing mereka untuk mendapat rawatan dan pemulihan yang terbaik berdasarkan panduan daripada Manual 'Ilaj Home.