KUALA KANGSAR, 4 – 6 OKTOBER 2024 – Bahagian Keluarga Sosial dan Komuniti, JAKIM dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan MAIWP dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dan Yayasan Ihtimam Malaysia(YIM) berkolaborasi bagi menjayakan program Kem Bimbingan Spiritual Komuniti Hijrah Perak Program dihadiri seramai 30 orang peserta komuniti hijrah dari pelbagai negeri yang dibantu oleh pihak NGO Muhajirah WAFIQ dan Usrah Iqrak.
Sepanjang 3 hari 2 malam program ini berlangsung para peserta telah diberikan bimbingan dan pengisian berdasarkan pendekatan Terapi Psikospiritual Islam dan latihan dalam kumpulan / permainan oleh pasukan Fasilitator / Jurulatih Konsultan Seanggun Bidadari yang diketuai oleh Puan Muna 'Izzah binti Fadzil bersama 3 orang fasilitator.
Para peserta turut mendapat pengisian yang disampaikan oleh Dr. Yusoof Dawood Gary yang merupakan seorang kaunselor mengenai kupasan mengenali diri dan topik berkenaan istiqamah dalam penghijrahan oleh Ustazah Haslinda binti Mustafa Kamal, yang merupakan Guru Dakwah JAIPk.
Majlis perasmian Kem Bimbingan Spiritual telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM. Ia turut dihadiri Puan Noor Haliza binti Ali, Ketua Penolong Pengarah KSK JAKIM, Ustaz Khairul Nizam bin Tarmidzi, Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIPk yang mewakili pengarah JAIPk, Cik Hajah Nurul Farhana binti Mohd Noor, Ketua Pentadbiran dan Sumber Manusia Yayasan Taqwa MAIWP dan Dr. Mohd Izwan bin Md Yusof, Penolong Pengarah Kanan KSK JAKIM sebagai penyelaras program.
Melalui penganjuran program Kem Bimbingan Spiritual ini diharapkan mampu menjadi platform terbaik sebagai pemangkin perubahan dan bimbingan berterusan kepada para peserta dalam menjalani kehidupan yang lebih baik dan sejahtera menurut tuntutan Syariat.