Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
KUALA LUMPUR, 30 OKTOBER 2024 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti telah menganjurkan Multaqa Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (NCR) dan Pegawai Rundingcara Seluruh Malaysia Tahun 2024, bertempat di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, yang melibatkan hampir 300 penyertaan, terdiri daripada Ketua-Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (KPNCR), Pendaftar, Penolong Pendaftar, Pegawai Rundingcara dan Fasilitator KSKCC dari negeri-negeri seluruh Malaysia.

Perasmian multaqa telah disempurnakan oleh YBhg. Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, mewakili YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani, dan Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Jamal bin Abd Halim, serta Pengarah-Pengarah Bahagian JAKIM.

Multaqa ini merupakan wadah pertemuan dan perkongsian pengetahuan berkaitan isu-isu semasa NCR dan isu-isu semasa dalam kes-kes runding cara serta khidmat nasihat perkahwinan dan kekeluargaan Islam. Multaqa ini juga bertujuan mengukuhkan hubungan dan jaringan kerjasama strategik antara JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri yang terlibat secara langsung dengan masyarakat dalam pengurusan NCR dan perkhidmatan runding cara keluarga.

Multaqa pada kali ini membawakan dua pembentangan, iaitu “Etika Pendaftar NCR dan Pegawai Rundingcara” oleh Ustazah Razidah binti Adam, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dasar Kemajuan Islam, JAKIM, dan “‘Iddah Mu’asyarah: Peranan Pendaftar NCR dan Pegawai Rundingcara” oleh Tuan Haji Shukeri Najib bin Ab Rahim, Hakim Kanan Mahkamah Rendah Syariah Negeri Melaka. Multaqa turut diserikan dengan forum “Diskusi Isu-Isu Semasa Perkahwinan” yang membariskan ahli panel, Tuan Haji Mohd Kamal bin Mohamad Noor, KPNCR Negeri Perak, dan Ustaz Mohd Rasmawi bin Harun, KPNCR Negeri Pahang, bersama moderator Ustazah Yuhaniz binti Mohd Yusop, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM.

Dua buah Garis Panduan telah dilancarkan pada multaqa ini, iaitu Garis Panduan KSKCareCentre dan Garis Panduan Pelaksanaan Kursus Pascaperkahwinan Islam Berdasarkan Modul Pascaperkahiwnan Islam. Garis Panduan ini merupakan panduan dan rujukan kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan semua pihak yang menyediakan perkhidmatan kaunseling syarie, rawatan Islam, terapi psikospiritual Islam dan bimbingan kekeluargaan, serta  semua pihak yang menganjurkan Kursus Pascaperkahwinan Islam. Mudah-mudahan usaha ini dapat  melahirkan keluarga sakinah, dan seterusnya membantu mengurangkan permasalahan rumah tangga dan konflik keluarga dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Penganjuran multaqa ini diharapkan mampu meningkatkan pengetahuan dan kompetensi para pendaftar NCR dan pegawai rundingcara, serta mendukung akauntabiliti dan ketelusan mereka dalam menggalas peranan sebagai penggerak utama kesejahteraan keluarga masyarakat Islam di Malaysia. Penganjuran multaqa ini juga menunjukkan komitmen Kerajaan khususnya JAKIM selaku agensi agama di peringkat persekutuan dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dalam memperkasa kualiti penyampaian dan menambah baik tadbir urus, seterusnya menambah keyakinan masyarakat Malaysia terhadap perkhidmatan pengurusan Nikah, Cerai dan Rujuk dan runding cara keluarga.

PPNCR CR 2024 01

PPNCR CR 2024 02

PPNCR CR 2024 03

PPNCR CR 2024 04

PPNCR CR 2024 05

PPNCR CR 2024 06

tt

PPNCR CR 2024 07

PPNCR CR 2024 08

PPNCR CR 2024 09