PUTRAJAYA, 29 OKTOBER 2024 – Bahagian Pendaftaran Keurusetiaan dan Rekod (BPKR), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), JAKIM telah mengadakan Persidangan Ketua-Ketua Pendaftar Nikah, Cerai & Rujuk (KPNCR) serta Ketua-Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) / Mahkamah Syariah Negeri (MSN) Seluruh Malaysia yang ke-14, bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, JKSM.
Persidangan tetap tahunan kali ini dipengerusikan secara bersama oleh YBrs. Tuan Mohamad Zakian bin Dio, Ketua Pendaftar JKSM, dan YBrs. Dr. Haji Ruslan bin Said, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), JAKIM. Dihadiri oleh para Ketua Pendaftar NCR dan Ketua Pendaftar JKSN/MSN dari seluruh Malaysia, turut serta pegawai-pegawai dan urus setia kedua-dua Agensi. Persidangan ini merupakan satu platform penting bagi membincangkan isu-isu perkahwinan yang melibatkan undang-undang dan bagi memudahkan penyelarasan antara Jabatan Agama Islam dan Mahkamah Syariah di Malaysia.
Persidangan kali ke-14 ini telah menggariskan beberapa agenda penting antaranya ialah pembentangan berkaitan Isu Perkahwinan Yang Melibatkan Warganegara Burma/Myanmar, disampaikan oleh KPNCR Negeri Pahang dan Kertas cadangan mengenai Model Intervensi bagi Menangani Perkahwinan Bawah Umur di Malaysia yang disampaikan oleh Bahagian Dasar Kemajuan ISLAM, JAKIM, juga menjadi tumpuan. Ini menunjukkan jabatan sangat memberi komitmen terhadap isu-isu semasa dan berusaha bagi mencari penyelesaian secara menyeluruh.
Persidangan kali ini juga merupakan persidangan terakhir yang dipengerusikan secara bersama oleh YBrs. Dr. Haji Ruslan bin Said. Beliau akan bertukar dan sesungguhnya beliau telah memberikan sumbangan besar sepanjang penganjuran persidangan KPNCR dan KP JKSN/MSN. Penglibatannya akan sentiasa diingati, nasihat dan semangatnya akan sentiasa dipahati, legasinya akan terus dirindui.