PORT DICKSON, NEGERI SEMBILAN 1-3 NOVEMBER 2024 – Bertemakan Fasa “Semarak Kasih " Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM melalui Unit Pascaperkahwinan Islam telah berjaya mengadakan Kursus Pascaperkahwinan Islam Peringkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia 2024 bertempat di Klana Beach Resort, Port Dickson dengan penyertaan seramai 40 orang peserta (20 pasangan suami isteri) yang terdiri daripada kakitangan JAKIM.
Perasmian majlis penutupan kursus disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM, yang menekankan bahawa inisiatif ini bertujuan untuk membangunkan institusi kekeluargaan yang lebih kukuh dan harmoni.
Turut hadir dalam majlis penutupan ialah YBhg. Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, serta Tuan Haji Mohd Norizan Abd Ghani, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, yang turut memberikan sokongan penuh kepada usaha mengukuhkan ikatan kekeluargaan ini.
Objektif program ini adalah untuk memperkukuh dan memantapkan hubungan suami isteri dengan nilai-nilai kekeluargaan agar dapat membentuk keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah. Peserta juga diberikan panduan dan tips bagi mengatasi konflik di dalam rumah tangga dengan meningkatkan pelbagai kemahiran yang relevan untuk membangunkan keluarga Islam yang berakhlak mulia.
Sepanjang program ini, peserta diberikan pemantapan ilmu berkaitan Pengurusan Kesihatan Keluarga, Pengurusan Kewangan Keluarga, Motivasi dan Pengurusan Psikologi serta Ibadah dan Pengurusan Stres dalam Rumah Tangga berdasarkan Modul Pascaperkahwinan Islam, JAKIM. Terdapat juga Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dengan slot Kenali Diri, Masam-Masam Manis, Azam dan Aku Janji serta Qiamullail dalam program ini.
Syabas dan tahniah kepada semua peserta Kursus Pasca Perkahwinan Islam Peringkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia 2024 "Fasa Semarak Kasih". Semoga mahligai yang dibina kekal bahagia hingga ke syurga.