Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
MERSING, 8 - 10 NOVEMBER 2024 – Bertemakan Fasa “Semarak Kasih" Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah berjaya mengadakan Kursus Pascaperkahwinan Islam Peringkat Negeri Johor 2024 bertempat di Felda Residence, Tanjung Leman, Mersing, Johor dengan penyertaan seramai 38 orang peserta (19 pasangan suami isteri) yang terdiri daripada masyarakat awam dan agensi.

Perasmian majlis penutupan kursus disempurnakan oleh YBrs. Tn Hj Abu Bakar bin Mohamed Salleh, Timbalan Pengarah Pengurusan JAINJ yang turut memberikan sokongan penuh kepada usaha mengukuhkan ikatan kekeluargaan ini.

Objektif program ini adalah untuk memperkukuh dan memantapkan hubungan suami isteri dengan nilai-nilai kekeluargaan agar dapat membentuk keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah. Peserta juga diberikan panduan dan tips bagi mengatasi konflik di dalam rumah tangga dengan meningkatkan pelbagai kemahiran yang relevan untuk membangunkan keluarga Islam yang berakhlak mulia.

Sepanjang program ini, peserta diberikan pemantapan ilmu berkaitan Pengurusan Kesihatan Keluarga, Pengurusan Kewangan Keluarga, Motivasi dan Pengurusan Psikologi serta Ibadah dan Pengurusan Stres dalam Rumah Tangga berdasarkan Modul Pascaperkahwinan Islam, JAKIM. Terdapat juga Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dengan slot Kenali Diri, Masam-Masam Manis, Azam dan Aku Janji serta Qiamullail dalam program ini.

Syabas dan tahniah kepada semua peserta Kursus Pasca Perkahwinan Islam Peringkat Negeri Johor 2024 "Fasa Semarak Kasih". Semoga mahligai yang dibina kekal bahagia hingga ke syurga.

jainj 1

jainj 2

jainj 3

jainj 4

jainj 5

jainj 6

jainj 7

jainj 8

jainj 9

jainj 10