Besut, Terengganu, 7 Februari 2025 - Institut Latihan Islam Malaysia Cawangan Besut telah menjadi saksi kepada majlis penutupan Bengkel Pembinaan Modul Minggu Haluan Huffaz dan Latihan TOT Fasilitator yang diadakan dengan penuh meriah. Majlis penutupan ini telah dirasmikan oleh Pengarah Darul Quran, Tuan Haji Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim , yang turut menyampaikan ucapan penutup dan amanat kepada para peserta.
Dalam ucapan penutupnya, Tuan Haji Mohd Ansarullah menekankan kepentingan peranan fasilitator dalam memastikan kejayaan program Minggu Haluan Huffaz bagi pelajar-pelajar baharu. Beliau juga menyatakan harapannya agar segala ilmu dan kemahiran yang diperoleh melalui bengkel ini dapat diterjemahkan dengan berkesan dalam pelaksanaan program kelak.
Bengkel yang bermula dari 4 hingga 7 Februari 2025 ini telah dihadiri oleh seramai 27 orang pegawai dan kakitangan Darul Quran. Tujuan utama bengkel ini adalah untuk mempersiapkan fasilitator baru dan meningkatkan kemahiran mereka dalam mengendalikan program Minggu Haluan Huffaz.
Program ini dikendalikan oleh penceramah dan fasilitator daripada Exact Training Consultant, yang diketuai oleh Cikgu Mohd Fazli bin Abdul Manaf. Mereka memberikan tunjuk ajar dan panduan yang komprehensif, termasuk sesi latihan praktikal yang melibatkan simulasi dan aktiviti berkumpulan.
Darul Quran JAKIM berharap dengan adanya bengkel ini, fasilitator yang terlibat akan lebih bersedia dan berupaya mengendalikan program dengan lebih berkesan, seterusnya membantu memartabatkan pendidikan tahfiz di Malaysia. Melalui program ini, diharapkan lebih ramai huffaz yang berilmu, berakhlak mulia, dan berkualiti dapat dilahirkan untuk menyumbang kepada masyarakat dan ummah.

