Kurator Berita : Darul Quran
PUTRAJAYA, 26 FEBRUARI 2025 - JAKIM melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti telah menjalinkan kerjasama dengan Majlis Wanita Islam YADIM (MAWIM), MAIWP, YAPEIM, dan KASIH Malaysia bagi penganjuran Karnival Wanita MADANI 2025 bersempena Hari Wanita Antarabangsa bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Karnival ini telah berlangsung dengan meriah dengan kehadiran lebih 500 peserta yang terdiri daripada kakitangan wanita pelbagai kementerian/agensi, pimpinan dan ahli badan bukan kerajaan (NGO) wanita, pelajar-pelajar IPT dan para wanita dari seluruh negara dengan pelbagai latar belakang.

Membawa tema ‘Wanita Madani: Tonggak Keunggulan Keluarga dan Pencetus Generasi Gemilang’, karnival ini merupakan satu inisiatif bagi memperkasa wanita Malaysia dalam pelbagai aspek kehidupan, sejajar dengan konsep Madani. Karnival ini bertujuan membentuk wanita yang berdaya saing daripada segi ekonomi, sosial, pendidikan dan kesihatan dalam usaha melahirkan masyarakat yang harmoni dan progresif.

Perasmian karnival telah disempurnakan oleh Yang Amat Berbahagia Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silatulrahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia).  Dalam ucapan perasmian, YAB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah menekankan bahawa wanita seharusnya mampu menjadi suri teladan, sumber inspirasi dan juga pendukung utama suami dalam setiap keadaan sama ada susah ataupun senang, serta  mampu menjadi contoh yang baik buat anak-anak.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam ucapannya menyatakan bahawa agensi-agensi hal ehwal agama sentiasa komited dalam melaksanakan agenda pemerkasaan wanita selari dengan teras Malaysia Madani. Inisiatif JAKIM melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) bagi pemerkasaan, bimbingan dan kebajikan golongan wanita, antaranya Program Sisterhood (women’s support group), KSKCareCentre, Program Wanita Idaman Ad-Deen (WIDAD), dan inisiatif menjadikan masjid sebagai pusat transit mangsa keganasan rumahtangga.

Karnival ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib  Ismail, Timbalan Yang Dipertua YADIM, Profesor Madya Dr. Adi Anuar Azmin, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Ustaz Zamri Zainal Abidin, dan Pengerusi MAWIM, Profesor Ts. Dr. Zuriati Ahmad Zukarnain, serta ahli jawatankuasa MAWIM dan KASIH Malaysia.

Pelbagai slot pengisian menarik dengan barisan panel yang hebat diadakan sepanjang karnival ini. Terdapat juga reruai pameran yang disertai agensi-agensi penganjur, GLC, dan barisan penaja. Reruai pameran Bahagian Keluarga, Sosial dan Komunti JAKIM telah mendapat sambutan hangat dengan adanya pelbagai aktiviti menarik seperti permainan interaktif dam kasih keluarga, kaunter khidmat nasihat dan bimbingan KSKCareCentre, serta edaran bunga ros dan kad ucapan sambutan Hari Wanita Antarabangsa.

Selamat Hari Wanita Antarabangsa 2025, “Wanita Beraspirasi Membina Legasi”. Terima kasih kepada semua wanita yang terus memberi inspirasi dan menyumbang dalam pelbagai bidang. Teruskan menyinari dunia dengan keimanan dan kebaikan. Semoga Allah SWT memberkati setiap langkah perjuangan wanita dalam membangun ummah.


KARNIVAL WANITA MADANI 2025 01

KARNIVAL WANITA MADANI 2025 02

KARNIVAL WANITA MADANI 2025 03

KARNIVAL WANITA MADANI 2025 05

KARNIVAL WANITA MADANI 2025 06

KARNIVAL WANITA MADANI 2025 07

KARNIVAL WANITA MADANI 2025 08

KARNIVAL WANITA MADANI 2025 09