Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti

“Institusi Masjid sentiasa dekat di hati kami”

KUALA LUMPUR, 28 APRIL 2025 –  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti telah berjaya menjalin hubungan strategik bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pejabat Pusat Pentadbiran Zon 4 JAWI dan Masjid Mu’adz bin Jabal, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur dalam menganjurkan Program Terapi Psikospiritual Islam Klien AADK Wilayah Persekutuan bagi bulan April 2025 bertempat di Masjid Mu’adz bin Jabal, Kuala Lumpur.

Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk membimbing dan merawat dalam usaha membantu memulihkan klien dengan menggunakan pendekatan yang komprehensif (integrasi naql dan aql), membantu transformasi diri (tazkiyyatun nafs) klien dalam memahami tujuan kehidupan, peranan dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah SWT serta menjadikan institusi masjid sebagai one stop centre atau pusat bimbingan dan pemulihan bagi permasalahan gejala sosial.

Kehadiran peserta di luar jangkaan seramai 56 orang peserta melebihi sasaran asal 40 orang peserta menunjukkan program ini mendapat sambutan padu dalam kalangan Klien AADK yang berada di dalam tempoh pengawasan AADK Wilayah Persekutuan. Mereka telah mengikuti dengan jayanya pengisian program yang dimulai slot 1 bertajuk : Makrifatun Nafs dan Jati Diri sebagai Muslim Sejati seterusnya diikuti dengan slot 2 dengan kupasan tajuk : Iktibar Kehidupan : Taubat Nasuha Jalan ke Syurga yang disampaikan oleh penceramah jemputan, YBhg. Ustaz Awang bin Mamat, Penolong Pengarah Kanan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Para peserta dapat menimba ilmu pengetahuan disamping terhibur dengan kupasan dan komentar daripada penceramah.

Program kolaborasi bersama antara rakan strategik ini turut dihadiri YBrs. Puan Noor Haliza binti Ali, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM, para pegawai AADK Wilayah Persekutuan, barisan AJK Masjid Al-Hasanah serta barisan urus setia dari JAKIM dan AADK. Diharapkan dengan adanya program terapi secara berkala ini dapat membantu memulihkan para klien AADK dengan menggunakan pendekatan yang komprehensif disamping mendekatkan jiwa sanubari para peserta dengan institusi masjid yang pastinya memberi nilai tambah dalam program berbentuk kerohanian tersebut.

PROGRAM TERAPI PSIKOSPIRITUAL 01

PROGRAM TERAPI PSIKOSPIRITUAL 02
PROGRAM TERAPI PSIKOSPIRITUAL 03