Kurator Berita : Darul Quran
Satu sesi perbincangan strategik antara Darul Quran JAKIM dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung pada Selasa, 13 Mei 2025 bertempat di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Tanjong Malim, Perak.

Delegasi Darul Quran diketuai oleh Pengarah Darul Quran bersama-sama Timbalan Pengarah Kualiti serta pegawai kanan Darul Quran. Manakala pihak UPSI diketuai oleh Prof. Dr. Azmil bin Hashim, Pengarah Institut Penyelidikan Pengajian Tahfiz dan Turath Islami (IPPTTI) bersama beberapa orang pensyarah kanan.

Tujuan utama pertemuan ini adalah bagi membincangkan peluang-peluang kerjasama strategik antara kedua-dua institusi dalam usaha memperkasa dan memperluas pengembangan program akademik tahfiz ke arah yang lebih dinamik dan berdaya saing.

Perbincangan turut menjurus kepada pembangunan program bersepadu yang dapat menggabungkan elemen hafazan al-Quran dengan pengetahuan kontemporari serta penyelidikan ilmiah.

Perbincangan ini diharap menjadi landasan kepada jalinan kerjasama rasmi yang bakal dirangka dalam masa terdekat, sekali gus menyokong aspirasi negara untuk melahirkan modal insan berteraskan al-Quran yang profesional, berkemahiran dan relevan dengan keperluan semasa.