Kurator Berita : Darul Quran
Darul Quran JAKIM melalui Cawangan Akademik telah menganjurkan Taklimat Akademik Siri 1 Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Muktamar, Darul Quran JAKIM. Program ini turut diserikan dengan kehadiran pensyarah-pensyarah dari Lokasi Tambahan Darul Quran (LTDQ), menjadikannya sebuah pertemuan ilmiah yang bermakna dan signifikan.

Program yang merupakan acara tahunan ini menjadi platform penting untuk menyelaras proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di Darul Quran JAKIM dan di LTDQ. Ia diadakan khusus bagi memastikan pelaksanaan PdP bagi sesi pengajian Mei hingga Oktober 2025 berjalan selari dengan garis panduan dan piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Antara objektif utama taklimat ini adalah untuk menyampaikan maklumat berkaitan penyelarasan kurikulum antara Darul Quran dan lokasi tambahannya. Ia juga bertujuan memastikan reka bentuk program pengajian kekal relevan serta memenuhi dasar dan keperluan semasa Darul Quran JAKIM.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Penolong Pengarah Seksyen Pentadbiran Akademik, Cawangan Akademik, yang mewakili Pengarah Darul Quran. Ucapan tersebut turut meraikan dan mengalu-alukan kehadiran para peserta daripada DQ dan LTDQ.

Pengisian taklimat dimulakan dengan Taklimat Umum Akademik oleh Ketua Unit Pengurusan Akademik, yang menyentuh aspek-aspek penting pelaksanaan PdP serta penyediaan dokumen-dokumen akademik yang diperlukan sepanjang tempoh pengajian.

Seterusnya, Penolong Pengarah dari Jabatan Pengajian Tahfiz menyampaikan taklimat berkenaan pelaksanaan PdP bagi Kursus Hifz al-Quran. Bagi sesi kedua, taklimat diteruskan oleh ketua-ketua atau wakil daripada Jabatan al-Quran dan Qiraat, Jabatan Pengajian Umum, Jabatan Pengajian Syariah, Jabatan Pengajian Usuluddin, serta Jabatan Bahasa, masing-masing menyampaikan maklumat khusus yang berkaitan bidang dan tanggungjawab jabatan mereka.

Darul Quran JAKIM amat mengharapkan agar semua pensyarah DQ dan LTDQ memperoleh maklumat yang seragam dan menyeluruh bagi menjayakan pelaksanaan PdP mengikut standard yang ditetapkan, sekali gus memastikan kualiti penyampaian ilmu berada pada tahap tertinggi.

Semoga sesi taklimat ini menjadi medan perkongsian ilmu yang bermanfaat, merapatkan kerjasama antara dua entiti pendidikan ini, serta meningkatkan profesionalisme para pensyarah. Akhirnya, usaha ini diharapkan akan memberi impak besar kepada pembangunan pelajar dalam melahirkan modal insan yang unggul dan berintegriti.