SUNGAI PETANI, KEDAH, 20-22 MEI 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) telah mengadakan Kursus Peningkatan Kompetensi Pegawai Runding Cara Menggunakan Pendekatan Kaunseling Syarie Tahun 2025 pada 20-22 Mei 2025 bertempat di INTAN Kampus Wilayah Utara (INTURA), Sungai Petani, Kedah. Peserta kursus adalah dalam kalangan para pegawai yang terlibat secara langsung mengendalikan sesi runding cara dan khidmat nasihat dari Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Kursus ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan meningkatkan pengetahuan pegawai runding cara mengenai proses, teknik, kemahiran dan intervensi kerohanian bagi membantu klien menyelesaikan masalah, mengenal pasti potensi diri dan matlamat hidup ke arah mencapai keredhaan Allah SWT serta meningkatkan kualiti dan keberkesanan perkhidmatan runding cara agar lebih sistematik dan teratur supaya dijadikan sebagai rujukan utama dalam masyarakat dan komuniti setempat.
Kursus ini telah dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Md Noor bin Saper dan Encik Mohd Fadhli bin Ahmat yang kedua-duanya merupakan Kaunselor Berdaftar. Antara tajuk yang disampaikan ialah Pengenalan Asas Kaunseling, Prinsip Asas Kaunseling Syarie, Manusia dan Islam, Proses Pelaksanaan Kaunseling Syarie, Kemahiran Asas Dalam Kaunseling dan sebagainya. Para peserta juga turut didedahkan dengan isu-isu perundangan yang disampaikan oleh Tuan Shafezan bin Rusli, Pegawai Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang.
Majlis Penangguhan kursus telah disempurakan oleh YBrs. Puan Noor Haliza binti Ali, Ketua Penolong Pengarah Bahagian KSK, JAKIM.



















