KUALA KUBU BHARU, 21-22 MEI 2025 β Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti telah berjaya menjalin hubungan strategik bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan dan Kem Bina Semangat, Yayasan Selangor dalam menganjurkan Program Terapi Psikospiritual Islam Klien AADK Wilayah Persekutuan bagi bulan Mei 2025. Program berbentuk kem ini telah berlangsung selama 2 hari bermula dari 21 - 22 Mei 2025 bertempat di Kem Bina Semangat, Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk membimbing dan merawat dalam usaha membantu memulihkan klien dengan menggunakan pendekatan yang komprehensif (integrasi naql dan aql), membantu transformasi diri (tazkiyyatun nafs) klien dalam memahami tujuan kehidupan, peranan dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah SWT.
Seramai 50 orang peserta wanita dalam kalangan Klien (Orang Kena Pengawasan) AADK yang berada dalam tempoh pengawasan di bawah AADK Wilayah Persekutuan telah mengikuti pengisian program tersebut. Antara slot yang diselia oleh JAKIM adalah slot psikospiritual Islam bertajuk : Makrifatun Nafs yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan, YBhg. Ustazah Nurdiana binti Zwlkifli, Penolong Pengarah dari Jabatan Tahfiz Al-Quran, Darul Quran JAKIM. Para peserta dapat menimba ilmu pengetahuan disamping lebih mengenali diri sendiri dan Pencipta.
Diharapkan dengan adanya program terapi secara berkala ini dapat membantu memulihkan para klien AADK dengan menggunakan pendekatan rohani yang komprehensif serta dapat memberi input dan nilai tambah berguna kepada para peserta dalam menjalani kehidupan bermasyarakat kelak.







