23 Mei 2025 - Seramai 19 orang kakitangan Darul Quran JAKIM, terdiri daripada editor dan pembaca pruf yang dilantik, telah menyertai Bengkel Penyuntingan dan Pembacaan Pruf Artikel Jurnal Darul Quran Bil. 29 Tahun 2025 yang berlangsung selama tiga hari, dari 21 hingga 23 Mei 2025 bertempat di Adamson Hotel, Kuala Lumpur.
Bengkel ini bertujuan memperkukuh kemahiran teknikal dan profesionalisme peserta dalam proses penyuntingan dan pembacaan pruf, selaras dengan usaha mempertingkat kualiti penerbitan ilmiah melalui penerbitan Jurnal Darul Quran JAKIM. Para peserta didedahkan kepada pendekatan sistematik dan teknik semakan yang efisien dalam memastikan ketepatan, kebolehbacaan serta integriti akademik setiap artikel yang diterbitkan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim, Pengarah Darul Quran JAKIM, manakala sesi bimbingan dikendalikan oleh tenaga pakar jemputan, YBrs. Prof Madya Dr. Abd Hadi bin Borham, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Inisiatif ini diharap menjadi pemangkin kepada penerbitan karya ilmiah berkualiti tinggi yang mampu memperkukuh kedudukan Jurnal Darul Quran sebagai wadah ilmu yang dihormati dan dirujuk.







