KUALA LUMPUR, 17 JULAI 2025 - JAKIM melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), dengan kerjasama Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) telah menganjurkan program Generasi Qawwam dengan tema "Anak Muda Hero Keluarga" bertempat di UCMI, Batu Muda, Kuala Lumpur.
Program yang disertai lebih 500 mahasiswa dan belia ini bertujuan memberi tumpuan kepada pemerkasaan peranan lelaki sebagai pemimpin keluarga. Dalam konteks masyarakat hari ini, tanggungjawab ini semakin mencabar dan memerlukan kefahaman yang mendalam serta komitmen yang tinggi, khususnya dalam kalangan generasi muda yang bakal memimpin keluarga pada masa akan datang.
Program ini dimulai dengan slot Sembang Anak Muda "Inspirasi Qawwam: Lelaki Itu" yang menampilkan barisan ahli panel yang tidak asing lagi, iaitu PU Rahmat Ikhsan; Ustazah Yuhaniz Mohd Yusop, Penolong Pengarah Kanan Bahagian KSK JAKIM merangkap kaunselor KSKCare Centre; dan Tuan Haji Roslan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pakcik Lan di platform tiktok. Slot TED Talk "Cabaran Generasi Qawwam" bersama Ustaz Azlan Shah Nabees Khan, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM dan pempengaruh, pula membuka ruang perbincangan yang segar dan perkongsian pengalaman dengan para peserta. Program turut diceriakan dengan sesi kuiz interaktif "Siapa Qawwam?".
Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama, YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Naim bin Haji Mokhtar, dan ucapan alu-aluan oleh Dato' Dr. Sirajuddin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM, dan Tuan Haji Badlishah Sham Baharin, Presiden IKRAM. Turut hadir, Datuk Haji Mohd Nizam Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP; Dato' Prof. Dr. Noor Inayah Ya'akub, Naib Canselor UCMI; Puan Hazizah Mohd Yusoff, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian KSK JAKIM; ahli-ahli Lembaga Pengarah UCMI, Pengurusan Tertinggi UCMI, serta Jawatankuasa Pusat IKRAM.
Semoga pengisian program ini dapat menanam iltizam anak muda untuk menjadi generasi qawwam, iaitu anak muda yang tahu bahawa menjadi qawwam bermula dari diri sendiri, dengan memperbaiki hubungan dengan Allah, memimpin diri dengan disiplin, dan menyantuni keluarga dan rakan dengan rahmah. Seterusnya mencetus langkah-langkah proaktif ke arah pembentukan masyarakat Malaysia MADANI yang lebih utuh dan berdaya tahan.



















