Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti

PUTRAJAYA, 24 JULAI 2025 - Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah berjaya mengadakan Konvensyen Penceramah Kursus Praperkahwinan Islam Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 dengan mengangkat tema “Celik Undang-undang, Penceramah Lebih Cemerlang”. Pelaksanaan konvensyen yang dilaksanakan secara dwi tahunan ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan pengetahuan berkaitan kepentingan undang-undang keluarga dalam penyampaian Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam, khususnya sebagai wahana peningkatan kompetesi penceramah Kursus Praperkahwinan Islam.

Konvensyen ini telah disertai seramai 350 orang peserta dalam kalangan penceramah Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI) seluruh Malaysia yang hadir melalui Jabatan Agama Islam Negeri-negeri seluruh Malaysia. Turut hadir ialah penceramah kursus ini dari anggota Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sebagainya.

Selari dengan tema konvensyen pada kali ini yang berkaitan dengan literasi Undang-undang Keluarga Islam, dua orang panel telah menyampaikan perkongsian, iaitu YBrs. Prof. Madya Dr. Hasnizam bin Hashim dari Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan YBrs. Tuan Mohd Ihsan bin Mohamad Daud dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan.

Majlis perasmian konvensyen telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir sama mengiringi YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ialah YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM, YBrs. Dr. Mohamad Kori Jusoh, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM dan YBhg. Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM. Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Mohd Rashidi bin Bujai, Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam ucapan perasmiannya telah menekankan kepada penceramah kepentingan untuk mempersiapkan diri dengan ilmu secara menyeluruh dalam penyampaian kandungan modul, terutamanya dalam aspek hukum syarak dan undang-undang Islam. Beliau turut menyarankan agar penceramah kursus ini sentiasa berusaha mencari peluang untuk meningkatkan ilmu dan pengetahuan, terutamanya dalam Undang-Undang Keluarga Islam yang berkait rapat dengan Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam.

Konvensyen Penceramah Kursus Praperkahwinan Islam Peringkat Kebangsaan 01

Konvensyen Penceramah Kursus Praperkahwinan Islam Peringkat Kebangsaan 02

Konvensyen Penceramah Kursus Praperkahwinan Islam Peringkat Kebangsaan 03

Konvensyen Penceramah Kursus Praperkahwinan Islam Peringkat Kebangsaan 04

Konvensyen Penceramah Kursus Praperkahwinan Islam Peringkat Kebangsaan 05

Konvensyen Penceramah Kursus Praperkahwinan Islam Peringkat Kebangsaan 06

Konvensyen Penceramah Kursus Praperkahwinan Islam Peringkat Kebangsaan 07

Konvensyen Penceramah Kursus Praperkahwinan Islam Peringkat Kebangsaan 08