KUALA LUMPUR, JUMAAT, 8 OGOS 2025 – JAKIM melalui Cawangan Kajian al-Quran dan al-Hadith, Bahagian Penyelidikan telah menganjurkan World Quran Symposium 2025 (WQS ’25) yang bertemakan “Embracing the Quran, Engaging in Civilization”. Simposium ini dilaksanakan di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur pada 7 Ogos 2025 (Khamis). Ia dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri. Simposium telah dianjurkan bersempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke 65 tahun 2025. Program berprestij ini turut dihadiri YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah, JAKIM dan Tuan Yang Terutama Syeikh Dr. Salah bin Mohammad al-Budair, Imam Masjid al-Nabawi, Madinah al-Munawwarah serta pegawai-pegawai tertinggi kerajaan.
WQS ’24 telah berjaya menghimpunkan peserta seramai 1600 orang yang terdiri dari Tuan Yang Terutama Duta-duta, wakil-wakil agensi kerajaan/swasta, Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan serta pelajar-pelajar sekolah dari seluruh Lembah Klang. Objektif penganjuran simposium ini ialah; (i) Menyebar dan membudayakan nilai-nilai Qurani yang terkandung di dalam al-Quran kepada ummah seluruhnya (ii) Mengajak dan menyeru masyarakat kepada amalan prinsip-prinsip kebaikan yang terkandung dalam kitab suci al-Quran sebagai rutin harian umat Islam dan (iii) Meningkatkan kemenjadian masyarakat tentang kepentingan amalan mahmudah bagi memartabat dan memuliakan insan melalui al-Quran.
Pengisian simposium ini telah dimulai dengan pembentangan oleh YBrs. Sheikh Dr. Muhammad Abdul Hakkim al-Kandi, Pengarah Urusan, Markaz Knowledge City, Kerala India bertajuk “Markaz Knowledge City: The Model of Cultivating Quranic Values in Building Up Civilization”. Ia disusuli dengan sesi forum yang membincangkan tentang “al-Quran and the Elevation of Civilization Through Dignity of Mankind” yang menampilkan barisan panelis tersohor iaitu: YBhg. Profesor Dr. Akmal Khuzairy bin Abdul Rahman dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBrs. Prof. Madya Dr. Umar bin Muhammad Noor dari University Malaysia Sabah dan YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Zulfiqar Shah bin Abdul Hadi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris dan moderatornya ialah Encik Ridzuan bin Awang Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan, JAKIM.
Simposium ini telah ditangguhkan dengan pembentang ucaptama yang bertajuk “Embracing the Quran, Engaging in Civilization” yang disampaikan oleh TYT Sheikh Dr. Salah bin Muhammad al-Budair, Imam Masjid al-Nabawi, Madinah al-Munawwarah.





