JAKARTA, INDONESIA, 19-21 OGOS 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) dan Bahagian Pengurusan Maklumat dengan kerjasama Bahagian Konsular, Kementerian Luar Negeri telah mengadakan Lawatan Kerja dan Latihan Pengurusan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia. Delegasi ini telah diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) JAKIM. Turut hadir dalam program ini ialah delegasi daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan Jabatan Agama Islam Sarawak.
Antara pengisian utama dalam program ini ialah Majlis Penyerahan Tauliah Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk kepada Ustaz Mohd Shamsuri bin Ghazali, pegawai atase agama di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta. Penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Shaikh Harun bin Shaikh Ismail, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu, dan YBrs. Haji Mual bin Haji Suaud, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak dengan disaksikan oleh TYT Dato' Syed Mohammad Hasrin Tengku Hussin, Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia. Penyerahan tauliah ini merupakan pengiktirafan rasmi terhadap peranan pegawai berkenaan dalam melaksanakan urusan perkahwinan mengikut bidang kuasa negeri di luar Negara.
Objektif utama program ini adalah untuk menyelaraskan pelaksanaan pengurusan perkahwinan rakyat Malaysia di luar Negara agar dilaksanakan secara seragam, tersusun dan selaras dengan perundangan Syariah serta peraturan sedia ada di Malaysia. Para pegawai Kedutaan serta Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (NCR) luar Negara telah diberikan pendedahan mengenai prosedur perkahwinan warganegara Malaysia di luar Negara mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Latihan teknikal berkaitan penggunaan Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) turut dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan serta pemahaman terhadap sistem tersebut. Program ini juga dijalankan secara hibrid, melibatkan penyertaan dalam talian daripada pegawai Kementerian Luar Negeri di Putrajaya, Sabah dan Sarawak, serta pegawai atase dari Konsulat Malaysia di Pontianak, Medan dan Pekanbaru.
Selain itu, delegasi turut mengadakan kunjungan hormat ke atas YTH. Prof. Dr. H. Abu Rokhmad, Direktur Jenderal, Bimbingan Masyarakat Islam Kementerian Agama Republik Indonesia bagi menyelaras pengurusan perkahwinan yang melibatkan warganegara Malaysia dengan warganegara Indonesia. Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan berjaya memperkukuh kerjasama strategik antara JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri dan Kementerian Luar Negeri dalam usaha meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat Malaysia di luar Negara.

















