Kurator Berita : Bahagian Maqasid Syariah
PUTRAJAYA, 26 September 2025 - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Dasar Kemajuan Islam dengan kerjasama Kementerian Komunikasi telah menganjurkan Program Libat Urus dan Bicara MADANI berkaitan Maqasid Syariah yang bertemakan “Maqasid Syariah dalam Tadbir Urus Sektor Komunikasi”.

Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk untuk memberi pendedahan serta penghayatan nilai murni dalam kalangan warga Kementerian Komunikasi menerusi agenda Malaysia MADANI ke arah peningkatan semangat dan harapan baharu dalam tugasan dan tanggungjawab sebagai penjawat awam. Selain itu, ia juga bertujuan memberi kefahaman mengenai Maqasid Syariah dalam perkhidmatan awam seterusnya sebagai panduan dalam menjalankan tanggungjawab dalam perkhidmatan.

Seramai 60 orang peserta telah menghadiri program ini terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan yang bertugas di Kementerian Komunikasi. Slot program ini telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah, Akademi Pemikiran Turath selaku penceramah jemputan iaitu Tuan Muhammad Noorazam bin Bahador. Para peserta telah diberikan buku Minda Maqasid dan buku Governance Based on Maqasid Shari’ah secara percuma sebagai rujukan dan panduan dalam program ini.

Dalam perkongsian tersebut, penceramah merumuskan bahawa konsep dan prinsip Maqasid Syariah sangat penting dalam sektor komunikasi kerana ia dapat memupuk nilai-nilai murni yang berteraskan agama Islam. Beliau turut menjelaskan bahawa Maqasid Syariah berperanan sebagai teras, pendekatan, dan solusi dalam merangka dasar sesebuah pentadbiran negara. Akhir sekali, beliau menegaskan bahawa kejayaan tadbir urus dalam sektor komunikasi dapat diukur melalui pencapaian Maqasid Syariah, kerana sifatnya yang menyeluruh, berterusan, dan seimbang antara keperluan duniawi dan ukhrawi.

Program Libat Urus dan Bicara MADANI dalam Sektor Komunikasi di Kementerian Komunikasi 01

Program Libat Urus dan Bicara MADANI dalam Sektor Komunikasi di Kementerian Komunikasi 02

Program Libat Urus dan Bicara MADANI dalam Sektor Komunikasi di Kementerian Komunikasi 03

Program Libat Urus dan Bicara MADANI dalam Sektor Komunikasi di Kementerian Komunikasi 04