SEREMBAN, 8 Oktober – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah menganjurkan Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan 2025 bertemakan “Memperkasa Tonggak Famili, Membangun Ummah MADANI”, bertempat di Dewan Besar Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Negeri Sembilan.
Majlis Perasmian seminar telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM dan Tuan Haji Mohd. Asri bin Abdullah, Pengarah JHEAINS.
Dalam ucapannya, YB Menteri menyatakan keyakinan bahawa seminar ini menjadi wadah menyuburkan kesedaran dan memperkukuh kefahaman tentang nilai kepimpinan lelaki berteraskan sifat ihsan dan mas’uliyah (tanggungjawab). Beliau turut menyeru semua pihak agensi kerajaan, institusi agama, pendakwah, tokoh masyarakat, ahli akademik, kaunselor serta NGO, agar berganding bahu memperkasa lelaki sebagai tonggak keluarga dan asas kepada kesejahteraan ummah.
Seminar ini menghimpunkan lebih 1,000 peserta, yang mana hampir kesemuanya adalah peserta lelaki. Ini bertepatan dengan tujuan seminar iaitu untuk memperkukuh kefahaman dan tanggungjawab lelaki sebagai pemimpin, pelindung dan pembela keluarga berlandaskan konsep Qawwam yang telah digariskan di dalam al-Quran. Seminar ini juga merupakan antara agenda penting di bawah Inisiatif Lelaki Qawwam, yang menjadi sebahagian daripada Pelan Transformasi al-Falah, ke arah memperkasa kepimpinan lelaki dalam mentadbir diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Antara pengisian utama seminar termasuk slot bertajuk “Qawwam: Kepimpinan Lelaki Dalam Al-Quran dan Hadis” oleh Ustaz Syaari Ab. Rahman dari Tadabbur Centre Sdn. Bhd.; slot “Kesihatan Lelaki: Realiti dan Solusi” oleh Prof. Madya Dr. Mohd Radzniwan A. Rashid dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); serta forum “Lelaki Qawwam: Antara Peranan dan Tekanan” menampilkan panel Syamsul Debat (Pendakwah Bebas), Tuan Fadzli Aziz (Kaunselor Keluarga) dan dimoderatorkan oleh YM Ustaz Tengku Nor Iftah bin Tengku Jamil, Penolong Pengarah Kanan JHEAINS.
Turut diadakan peluncuran Logo Rasmi Inisiatif Lelaki Qawwam yang mencerminkan kesatuan agenda memperkukuh peranan lelaki sebagai pemimpin keluarga dan masyarakat ini ke seluruh Negara, serta peluncuran “Podcast Qawwam” sebuah platform digital baharu kolaborasi JAKIM, IKRAM dan RareNation yang mengupas peranan dan cabaran kepimpinan lelaki, dan isu kesejahteraan lelaki. Podcast ini akan disiarkan setiap hari Rabu, bermula 8 Oktober 2025, jam 8.00 malam di saluran youtube dan media sosial JAKIM, Pertubuhan IKRAM Malaysia, dan RareNation.
Penganjuran seminar ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan Madani melalui agensi agama dalam membina kesedaran kolektif terhadap tanggungjawab lelaki sebagai qawwam yang berperanan sebagai pemimpin, pelindung dan pembimbing keluarga. Ia diharap mampu melahirkan golongan lelaki yang lebih bertanggungjawab serta menjadi tonggak utama dalam pembentukan keluarga sejahtera dan masyarakat harmoni.
#LelakiQawwam
#JAKIMuntukUmmah
#PelanTransformasiAlFalah
#IslamMekarDiBumiMalaysia
#MalaysiaMadani




















