Kurator Berita : Bahagian Penyelidikan
KEDAH, RABU, 23 SEPTEMBER 2025 – JAKIM melalui Cawangan Muzakarah dan Penyelarasan Penyelidikan, Bahagian Penyelidikan, JAKIM telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke- 128 pada 23 hingga 26 September 2025 bertempat di Hotel Aloft Langkawi Pantai Tengah, Kedah Darul Aman.

Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI ini telah dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Yang Berhormat Dato' (Dr) Nooh bin Gadot dengan penyertaan Sahibus Samahah Mufti-mufti seluruh Malaysia serta ahli-ahli dilantik MKI. Tujuan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah ini dilaksanakan adalah untuk membincangkan dan memutuskan pandangan hukum berkaitan isu-isu Akidah, Syariah dan Akhlak bagi panduan umat Islam serta memperkukuh institusi kefatwaan di Peringkat Kebangsaan. Di samping itu, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah ini juga memperkukuh hubungan antara negeri-negeri dalam memelihara dan memperkasakan pentadbiran Islam di Malaysia.

Selain daripada pelaksanaan mesyuarat, Program Tautan Ukhuwah dan Mahabbah turut dilaksanakan bagi mengeratkan hubungan di antara ahli-ahli Jawatankuasa Muzakarah MKI. Program yang dikendalikan oleh Jabatan Mufti Negeri Kedah (JMFK) dengan komitmen dan kerjasama erat daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) ini juga merupakan wadah bagi menzahirkan penghargaan serta  meraikan kehadiran ahli-ahli Jawatankuasa  Muzakarah MKI  di bumi  Langkawi.

Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI ini berakhir dengan penganjuran Majlis Mawaddah Ulama’ dan Umara’ Bersama Menteri Besar Kedah, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor. Majlis ini dihadiri oleh semua ahli Jawatankuasa Muzakarah MKI, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri Kedah, Dato’ Mohd. Azam Abdul Samad, Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah dan Timbalan Pengarah Bahagian Penyelidikan, JAKIM, Ahmad Husaini Mustafa. Majlis makan malam  ini merupakan antara usaha dan  inisiatif  bagi mempertemu dan mempererat hubungan di antara para umara’ dan para ulama dalam memastikan urusan agama Islam terus diperkukuhkan dan dimartabatkan di negara ini.

BERITA MESYUARAT JK MUZAKARAH MKI 128 01

BERITA MESYUARAT JK MUZAKARAH MKI 128 02

BERITA MESYUARAT JK MUZAKARAH MKI 128 03

BERITA MESYUARAT JK MUZAKARAH MKI 128 04

BERITA MESYUARAT JK MUZAKARAH MKI 128 05

BERITA MESYUARAT JK MUZAKARAH MKI 128 06

BERITA MESYUARAT JK MUZAKARAH MKI 128 07

BERITA MESYUARAT JK MUZAKARAH MKI 128 08

BERITA MESYUARAT JK MUZAKARAH MKI 128 09