PUTRAJAYA, KHAMIS, 26 SEPTEMBER 2025 – JAKIM melalui Cawangan al-Quran dan al-Hadith, Bahagian Penyelidikan dengan Kerjasama Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) telah menganjurkan Majlis Khatam daurah Pengajian Hadith 40 Imam Al-Nawawi yang bertempat di Masjid Tuanku Zainal Abidin, Putrajaya pada 25 September 2025. Majlis tersebut telah dihadiri oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dan turut dihadiri YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah, JAKIM dan Sahibul Fadhilah Syeikh Fuad bin Amran serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Majlis Khatam telah berjaya menghimpunkan seramai lebih kurang 400 orang yang terdiri daripada kakitangan kerajaan, pelajar serta masyarakat sekitar Putrajaya. Objektif penganjuran ini adalah untuk memberi kefahaman yang jelas berkenaan Hadith 40 Imam AL-Nawawi yang menjadi asas kepada kaedah-kaedah agama serta menjadi rujukan penting dalam mempelajari agama Islam secara keseluruhannya. Disamping membina akhlak mulia berdasarkan ajaran nabi serta memperkuat dan memelihara kedudukan hadith itu sendiri sebagai sumber syariat.
Pengisian ini telah dimulai dengan bacaan hadith 40 oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar dan diteruskan bacaan hadith 41 oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee. Manakala bacaan hadith 42 serta pengijazahan hadith 40 Imam Al-Nawawi disampaikan oleh Sahibul Fadhilah Syeikh Fuad bin Amran.
Majlis Khatam telah ditangguhkan dengan ucapan perasmian penutup yang disampaikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar.





