Kurator Berita : Bahagian Maqasid Syariah
Putrajaya, 13 Oktober 2025 – Kursus Eksplorasi Maqasid Syariah Siri 14/2025 anjuran Bahagian Dasar Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Bahagian Penerbitan telah berlangsung dengan jayanya hari ini dengan penyertaan seramai 25 orang peserta daripada pelbagai agensi dan bahagian.

Program yang menjadi antara inisiatif utama JAKIM dalam memperluas kefahaman Maqasid Syariah ini menampilkan Ustaz Marwan Bukhari bin A. Hamid sebagai penceramah jemputan. Beliau merupakan penterjemah kepada karya asal Prof. Dr. Ahmad al-Raysuni, tokoh terkemuka dunia Islam dalam bidang Maqasid Syariah.

Dalam sesi pembelajaran kali ini, tumpuan diberikan kepada kaedah 64 hingga 68 daripada bab 8 yang menghuraikan pendekatan rasional dan metodologi dalam memahami objektif hukum-hakam Islam.

Maslahah merupakan elemen penting dalam memahami falsafah Maqasid Syariah kerana ia menjadi asas kepada kesejahteraan manusia dalam semua aspek kehidupan. Dalam konteks ini, Ustaz Marwan menjelaskan bagaimana pemahaman mendalam terhadap maqasid membimbing para mujtahid dalam menilai hukum dan keputusan berdasarkan hikmah serta kepentingan umum (maslahah ‘ammah).

Beliau turut menegaskan bahawa ijtihad yang berpaksikan maqasid mampu mengimbangi antara teks dan konteks, seterusnya memastikan pelaksanaan hukum Islam sentiasa relevan dengan realiti semasa tanpa mengabaikan nilai dan prinsip syariah.

Program ini amat bermanfaat kerana memberi penjelasan mendalam mengenai aplikasi prinsip maslahah dan ijtihad maqasidi dalam konteks kerja seharian, sejajar dengan matlamat JAKIM untuk memperkukuh tadbir urus Islam yang progresif, inklusif dan berpaksikan nilai syariah.

KURSUS EKSPLORASI MAQASID SYARIAH SIRI 14 2025 01

KURSUS EKSPLORASI MAQASID SYARIAH SIRI 14 2025 02

KURSUS EKSPLORASI MAQASID SYARIAH SIRI 14 2025 03

KURSUS EKSPLORASI MAQASID SYARIAH SIRI 14 2025 04