3 NOVEMBER 2025 / 12 JAMADILAWAL 1447H I KUALA LUMPUR, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) bersama rakan strategik iaitu Persatuan Psikospiritual Islam (IPSA), Persatuan Kaunseling Syarie (PAKSI) dan Persatuan `Ilaj Syarie (PIS) telah menganjurkan Konvensyen Nasional Madani Penjagaan Spiritual Islam Tahun 2025 dengan tema “Spiritual Teguh, Resilien Utuh” bertempat di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kehadiran peserta konvensyen menghampiri 800 orang melibatkan pelbagai skim perkhidmatan dari pelbagai bidang profession antaranya Pegawai Hal Ehwal Islam, Pakar dan Pegawai Perubatan, Pegawai Psikiatri, Pegawai Psikologi, Pensyarah dan Pelajar Universiti serta sukarelawan.
Konvensyen satu hari ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran kepada peserta akan kepentingan penjagaan spiritual Islam bagi kesejahteraan holistik merangkumi kehidupan duniawi dan ukhrawi. Ianya sangat signifikan dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap peranan spiritual dalam membina daya tahan yakni resilien untuk kesihatan diri dan kesejahteraan kehidupan secara menyeluruh.
Pendedahan dan penjelasan ilmu telah disampaikan oleh enam orang pembentang mengikut kepakaran masing-masing menerusi tiga slot sidang plenari dan satu slot simposium. Pembentangan slot plenari didahului oleh YBrs. Dr. Ahmad Rostam bin Md Zin, Pakar Perunding Psikiatri dengan tajuk “Kesejahteraan Spiritual Dalam Kesihatan Mental”, diikuti oleh al-Fadhil Ustaz Mohd Isa bin Abdullah dengan tajuk “Spiritual Islam: Impak Resilien Kepada Masyarakat” dan YBrs. Dr. Mohd Syukri bin Zainal Abidin dengan tajuk “Intervensi Psikospiritual Islam: Preskripsi Kesihatan Mental”. Manakala slot simposium yang memberi fokus kepada “Perspektif Spiritual Dalam Konteks Multidisiplin” dikendalikan oleh YBrs. Dr. Ahmad Fahmy bin Md. Sahray, Ketua Unit Spiritualiti dan Kesihatan Hospital Sungai Buloh sebagai moderator. Tiga tajuk pembentangan telah disampaikan iaitu “Memenuhi Keperluan Spiritual Pesakit” oleh Dr. Fazlina binti Ahmad, Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Perubatan Paliatif, diikuti tajuk “Sokongan Psikospiritual Kepada Pesakit” oleh Prof. Dr. Che Zarrina binti Sa’ari dan diakhiri pembentangan dengan tajuk “Kaunseling Syarie Sebagai Asas Intervensi Spiritual Islam” oleh Prof. Madya Dr. Md Noor bin Saper.
Majlis perasmian konvensyen telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Hadir sama iaitu YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM, Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), JAKIM dan Pengarah-Pengarah Bahagian di JAKIM serta wakil Ketua Jabatan Agensi Agama di bawah Menteri di JPM (HEI). Majlis perasmian diakhiri dengan acara peluncuran Manual Psikospiritual Islam dan penyerahan resolusi konvensyen oleh Ketua Pengarah JAKIM kepada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).


















