KUALA LUMPUR, 4 NOVEMBER 2025 - Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) Bil. 2 Tahun 2025 telah diadakan di Hotel IDEAS, Kuala Lumpur. Mesyuarat ini dipengerusikan bersama oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dan YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara. Tujuan utama mesyuarat yang diurusetiakan oleh JAKIM dan KPN ini adalah untuk memperkasa platform strategik keharmonian antara penganut agama di Malaysia, selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI yang bertunjangkan Keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa HARMONI sedia ada dan ahli-ahli baharu yang mewakili spektrum kepimpinan agama di Malaysia. Pelantikan ahli baharu termasuklah YBrs. Dr. Mohd Farid bin Mohd Shahran (Felow Kanan IKIM - wakil Muslim), Bishop Ong Sek Leang (National Evangelical Christian Fellowship Malaysia) serta Reverend Dr. Eu Hong Seng (Christian Federation Malaysia - wakil non-Muslim), menunjukkan komitmen Jawatankuasa terhadap keterangkuman perspektif.
Mesyuarat membincangkan beberapa kertas cadangan dan makluman iaitu Pindaan Terma Rujukan (TOR) Jawatankuasa HARMONI, Kertas Makluman Program di bawah Inisiatif Harmoni MADANI oleh KPN dan Kertas Cadangan ASEAN MADANI Interfaith Youth Summit 2025 oleh ABIM. Selain itu, laporan program penting yang telah dilaksanakan turut dibentangkan, iaitu The 2nd International Summit of Religious Leaders 2025 (JAKIM) dan International Interfaith Peace Conference (ACCIN).
Selain itu, YB Pengerusi Bersama turut menyatakan harapan agar perbincangan dapat berlangsung dalam suasana yang terbuka, jujur, dan konstruktif, dengan semangat muhibah yang tinggi. Keputusan yang dicapai dalam mesyuarat ini diyakini akan merangka hala tuju strategik yang lebih mantap dan berkesan demi menjamin keharmonian serta kemakmuran negara yang berpanjangan.








