Kurator Berita : Unit Komunikasi Korporat
PUTRAJAYA, 15 Januari 2026 – Program MADANI Lecture Distinguished Speaker Series anjuran Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah berlangsung dengan jayanya di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. Program berteraskan wacana ilmu ini menjadi platform penting dalam memperkukuh kefahaman Islam yang inklusif, berteraskan nilai kemanusiaan sejagat serta selari dengan aspirasi Malaysia MADANI

Majlis Ilmu MADANI ini telah dipengerusikan oleh Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, sekali gus mencerminkan komitmen kepimpinan negara dalam memartabatkan tradisi keilmuan sebagai teras pembinaan masyarakat berdaya fikir dan berakhlak. Pengisian utama majlis telah disampaikan oleh Sheikh Dr. Tahir Wyatt, seorang ilmuwan Islam antarabangsa yang menekankan kepentingan nilai hikmah, dialog dan keseimbangan antara prinsip agama serta realiti masyarakat majmuk masa kini.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); Dato' Dr. Sirajuddin Bin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM serta ketua-ketua agensi di bawah portfolio Hal Ehwal Agama.

Penganjuran MADANI Lecture Distinguished Speaker Series ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan MADANI dan JAKIM dalam mengangkat wacana ilmu sebagai jambatan penyatuan masyarakat, memperkasa kefahaman Islam yang rahmah dan progresif, serta memperkukuh ekosistem intelektual negara. Inisiatif ini diharap dapat terus menyuburkan budaya dialog, pemikiran kritis dan nilai ihsan dalam membina sebuah negara yang aman, adil dan berperadaban.

Majlis Ilmu MADANI1

Majlis Ilmu MADANI2

Majlis Ilmu MADANI3

Majlis Ilmu MADANI4