28 Januari 2026 – Darul Quran hari ini telah menganjurkan Program Hari Huffaz: Selangkah ke Menara Gading bertempat di Dewan Muktamar, Darul Quran, bertujuan memberi pendedahan dan panduan kepada para pelajar mengenai laluan pendidikan yang boleh diterokai selepas tamat pengajian.Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Darul Quran, Tuan Haji Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim. Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Pengarah Akademik, Dr. Muhammad Yusry bin Mazlan, serta Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar (HEP), Ustaz Ahmad Dasuki bin Hashim. Program ini melibatkan penyertaan pelajar Semester Enam Darul Quran serta pelajar dari Lokasi Tambahan Darul Quran (LTDQ).
Antara pengisian utama program ialah sesi taklimat oleh Seksyen Ijazah, Bahagian Education Malaysia (BEM), Unit Pusat Universiti (UPU), Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) JAKIM berkaitan peluang melanjutkan pengajian dan kemudahan pembiayaan khusus untuk golongan huffaz.
Selain itu, program ini turut disertakan dengan pameran pendidikan yang melibatkan institusi pengajian tinggi, iaitu Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Universiti Islam Selangor (UIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Open University Malaysia (OUM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Penganjuran program ini diharapkan dapat membantu para pelajar Darul Quran merancang hala tuju akademik dengan lebih jelas, sistematik dan berfokus, selaras dengan aspirasi melahirkan huffaz yang berdaya saing dan berkualiti di peringkat pengajian tinggi.






