26 APRIL 2026 | 9 ZULKAEDAH 1447H | EDC-UUM, SINTOK, KEDAH
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) telah menganjurkan Program Jerayawara Kesedaran Isu Sosial (J-KIS) Peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Zon Utara Tahun 2026 dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM). Program ini berlangsung di EDC-UUM, Sintok, Kedah.
Program J-KIS merupakan inisiatif bersepadu yang dirangka bagi meningkatkan tahap kefahaman, kepekaan serta tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar IPT terhadap isu-isu sosial yang semakin meruncing dalam masyarakat.
Seramai 600 orang pelajar IPT dari negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang telah menyertai program ini, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi golongan mahasiswa terhadap usaha meningkatkan kesedaran sosial.
Program ini diisi dengan tiga slot utama. Slot pertama bertajuk “𝗔𝗻𝗱𝗮, 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗱𝗮𝗻 𝗕𝘂𝗱𝗮𝘆𝗮 𝗦𝗼𝗻𝗴𝘀𝗮𝗻𝗴” telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Idris bin Mohd Yusoff daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman (LZNK). Slot kedua pula bertajuk “𝗝𝗶𝘄𝗮 𝗞𝗮𝗰𝗮𝘂: 𝗞𝗼𝗻𝗴𝘀𝗶 𝗮𝘁𝗮𝘂 𝗣𝗲𝗻𝗱𝗮𝗺” telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Asyraf bin Saifuddin, pensyarah dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Cawangan Perak. Slot ketiga bertajuk "𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗻𝘁𝘂𝗻𝗮𝗻 𝗦𝗲𝗸𝘀𝘂𝗮𝗹 (𝗦𝗲𝘅𝘂𝗮𝗹 𝗚𝗿𝗼𝗼𝗺𝗶𝗻𝗴)" yang telah disampaikan oleh DSP Sarimah binti Osman dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Kontinjen Kedah.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pendekatan jerayawara merupakan kaedah yang relevan dan berkesan dalam menyampaikan mesej secara langsung kepada mahasiswa melalui pendekatan pendidikan, pencegahan dan intervensi awal yang menyeluruh.
Menurut beliau, program seumpama ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran, malah turut memperkukuh kefahaman, membina kepekaan serta menyemai rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa. Ia juga menyediakan ruang dialog terbuka antara mahasiswa, pakar dan agensi berkaitan, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat dari aspek fizikal, mental, emosi dan sosial.
Pada majlis sama, turut berlangsung peluncuran Buku Manual Islam & HIV/AIDS Edisi Kedua terbitan JAKIM, yang disaksikan oleh wakil Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Aids Malaysia. Selain itu, Akronim ADAB UUM yang dibangunkan oleh pihak UUM turut diperkenalkan.
Sejurus selesai majlis perasmian, YB Timbalan Menteri turut meluangkan masa melawat reruai pameran yang disediakan, melibatkan Bahagian Penerbitan JAKIM, LZNK serta pihak UUM.
Penganjuran program ini diharap dapat terus memperkukuh kefahaman dan kesedaran mahasiswa terhadap isu-isu sosial dalam masyarakat, seterusnya melahirkan generasi yang lebih prihatin, berdaya tahan dan bertanggungjawab.









