PUTRAJAYA, 24 April – Dalam usaha memperkasa budaya integriti serta memperkukuh tadbir urus organisasi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah berjaya menganjurkan Kursus Pembangunan Pelan Pencegahan Rasuah Organisasi (OACP) yang berlangsung pada 21 hingga 24 April 2026 bertempat di Hotel Pulse Grande, Putrajaya.
Program yang diadakan ini melibatkan penyertaan pegawai-pegawai daripada Bahagian dan Pusat Tanggungjawab (PTj) JAKIM. Para pegawai yang terlibat dalam kursus ini juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pembangunan Pelan OACP JAKIM yang telah dilantik, selaras dengan peranan mereka dalam memperkukuh pelaksanaan inisiatif pencegahan rasuah di peringkat organisasi.
Pelaksanaan kursus ini telah dijalankan melalui kerjasama strategik dengan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selaku badan berautoriti dalam usaha pencegahan rasuah negara. Tenaga pengajar kursus ini terdiri daripada pegawai-pegawai SPRM yang berpengalaman, yang telah berkongsi kepakaran serta memberikan panduan praktikal dalam pembangunan Pelan OACP yang lebih sistematik, berkesan dan menyeluruh.
Kursus ini turut mendapat sokongan padu daripada pihak pengurusan tertinggi JAKIM, iaitu YBhg. Dato’ Dr. Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JAKIM dan Pengarah-Pengarah Bahagian/PTj, bagi memastikan pelaksanaannya berjalan dengan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan.
Penganjuran kursus ini bertujuan membangun dan menyediakan satu dokumen dasar antirasuah di peringkat jabatan bagi memastikan inisiatif kerajaan yang telah ditetapkan dalam Pelan Pencegahan Rasuah Nasional dilaksanakan. Selain itu, dapat membantu jabatan mengenal pasti kelemahan organisasi dalam aspek tatakelola, integriti dan anti rasuah serta melaksanakan analisis persekitaran bagi tujuan mencegah, menangani dan bertindak balas terhadap isu-isu yang berlaku di jabatan. Kursus ini juga dapat membantu jabatan merangka strategi dan pelan tindakan bagi memastikan jabatan mematuhi undang-undang semasa dan menerapkan amalan tatakelola baik dalam pelaksanaan aktiviti jabatan.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai modul merangkumi pengurusan risiko rasuah, tadbir urus yang baik serta pematuhan kepada dasar dan garis panduan integriti yang ditetapkan. Selain itu, sesi perbincangan kumpulan, kajian kes dan latihan praktikal turut dilaksanakan bagi memastikan pemahaman yang lebih mendalam serta aplikasi yang berkesan di peringkat organisasi masing-masing.
Melalui pelaksanaan kursus ini, diharapkan setiap Bahagian dan PTj dapat bekerjasama rapat dengan Unit Integriti sebagai penyelaras dalam membangunkan pelan OACP serta merangka tindakan yang komprehensif bagi usaha pencegahan rasuah, seterusnya memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan yang disampaikan.
Penganjuran kursus ini juga mencerminkan komitmen berterusan JAKIM dalam memperkasa amalan integriti serta menyokong agenda nasional ke arah tadbir urus yang lebih telus, berakauntabiliti dan berintegriti tinggi.








