BANDAR BARU BANGI, 13 Mei – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi Bahagian Keluarga, Sosial & Komuniti (KSK) meneruskan komitmen menyantuni golongan sasar menerusi penganjuran Program Terapi Psikospiritual Islam (PTSI) Siri 2/2026 Bagi Klien AADK Negeri Selangor di Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Program yang dilaksanakan secara bulanan melibatkan seramai 53 orang klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Selangor dari daerah Hulu Langat. Penganjurannya merupakan hasil kolaborasi strategik antara AADK Negeri Selangor, AADK Daerah Hulu Langat, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat, serta pihak pengurusan Masjid Al-Umm.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Setiausaha Masjid Al-Umm, YBrs. Tuan Haji Wan Zailan bin Wan Omar yang mewakili Nazir masjid berkenaan. Turut hadir ialah wakil AADK Negeri Selangor, YBrs. Encik Ahmad Shamsuri bin Nasri; wakil KSK JAKIM, YBrs. Ustaz Mohd Rashidi Mohd Jamil; dan wakil AADK Hulu Langat, Puan Noorazlina Ibrahim.
Berbeza dengan siri sebelum ini, PTSI kali ini menampilkan kelainan apabila memfokuskan kepada aplikasi teori dan praktikal yang lebih interaktif bersama para peserta.Sesi bimbingan dimulakan dengan solat sunat Dhuha berjemaah yang diimamkan oleh Imam 1 Masjid Al-Umm, Ustaz A. Mohd Rahmat Mohd Haliff. Program kemudian diteruskan dengan slot teori 'Terapi Zikir' dan 'Ma'rifatun Nafs' serta latihan praktikal wuduk secara berkumpulan. Slot tersebut dikendalikan oleh penceramah jemputan daripada Cawangan Pembangunan Keluarga KSK JAKIM, Ustaz Mohd Fadhli Ahmat, yang juga merupakan fasilitator berpengalaman di KSK Care Centre.
Sinergi berterusan antara agensi kerajaan dan institusi masjid seperti ini diharap dapat memperkasakan proses pemulihan klien AADK, sekali gus membantu membina masyarakat yang lebih sejahtera pada masa hadapan.




















