PUTRAJAYA, 18 MEI 2026 - SmartNCR Team yang mewakili Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) berjaya merangkul tempat ketiga dalam Pertandingan Horizon Baharu Inovasi dan Kreatif (KIK) Peringkat JAKIM Tahun 2026.
Pertandingan ini yang berlangsung di Dewan Sheikh Daud al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin menyaksikan pembentangan sengit daripada 8 kumpulan.
Masing-masing telah menampilkan projek yang menarik dan berimpak tinggi disertai bahan rujukan yang padat dengan maklumat untuk dikemukakan kepada para juri.
KSK menampilkan projek Nikah Cerai Rujuk (NCR) Luar Negara, SPPIM 2.0 yang sudah mula menampakkan impak positif terhadap krisis pengurusan perkahwinan Islam dengan menggantikan sistem manual terdahulu kepada sistem digital yang bersepadu.
Sebelum adanya inovasi ini, kerenah birokrasi dalam pengesahan dokumen perkahwinan luar negara kerap dieksploitasi oleh sindiket ulat sempadan sehingga membebankan rakyat.
Dengan pelaksanaan SPPIM 2.0, sistem ini mendigitalisasi pengurusan dan menghubungkan pejabat perwakilan diplomatik Malaysia terus ke pangkalan data JAIN dan JAKIM, sekali gus memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia yang ingin berkahwin di luar negara atau perkahwinan yang melibatkan pasangan bukan warganegara untuk berkahwin.
Pertandingan ini diakhiri dengan Majlis Perasmian Penutup dan penyampaian hadiah oleh Yang Berusaha Dr. Haji Ruslan bin Said, Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM, mewakili Ketua Pengarah JAKIM.
Pencapaian ini sekali gus memberi dorongan kepada Bahagian KSK untuk berdakwah dalam bidang berkaitan institusi perkahwinan. Selain itu, ia juga menujukkan kepentingan untuk menginovasi sistem pengurusan dari semasa ke semasa selari dengan revolusi digital agar masyarakat dapat hidup sejahtera mengikut landasan syariat.




