19 – 20 MEI 2026 | 2 – 3 ZULHIJJAH 1447H | IPOH, PERAK
Dalam usaha memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan digital, Bahagian Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) dengan kerjasama Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM dan Bahagian Pengurusan Maklumat JAKIM telah menganjurkan Bengkel Uji Lari Bayaran Secara Atas Talian SPPIM dan Perak ePay. Bengkel ini telah diadakan di Makmal Komputer, Bahagian Digital, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan telah dihadiri oleh barisan pegawai dan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak, serta wakil Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) seluruh negeri Perak.
Bengkel uji lari ini diadakan bertujuan untuk menguji kecekapan, kelancaran, serta integrasi penuh transaksi bayaran secara atas talian melalui sistem SPPIM dengan gerbang pembayaran Perak ePay. Langkah proaktif tersebut amat penting bagi memastikan fasa pelaksanaan penuh kelak dapat memberikan kemudahan yang optimum, pantas, dan selamat kepada masyarakat dalam urusan nikah, cerai, dan ruju' di negeri ini.
Program berimpak tinggi ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd Kamal bin Mohamad Noor, Ketua Pendaftar di Pejabat Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Negeri Perak. Dalam amanatnya Tuan Haji Mohd Kamal bin Mohamad Noor menzahirkan harapan agar semua peserta dapat memberikan komitmen yang tinggi serta maklum balas yang teliti sepanjang sesi simulasi dijalankan. Komitmen daripada pelbagai agensi ini amat perlu bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan telus dapat diberikan kepada seluruh umat Islam di Perak.
Seiring dengan pelaksanaan bengkel ini, JAKIM turut mengambil inisiatif membuat pemantauan secara langsung terhadap pelaksanaan SPPIM di Pejabat Pentadbiran Agama Islam Ipoh. Langkah pemantauan padang ini dilaksanakan secara khusus dengan tujuan untuk mengenal pasti isu-isu serta cabaran yang sering dihadapi oleh pihak Pejabat Agama Islam di peringkat akar umbi.
Inisiatif kerjasama strategik antara JAIPK, JAKIM, dan Kerajaan Negeri Perak ini merupakan manifestasi jelas dalam menyokong aspirasi "Malaysia Madani" serta menyumbang kepada agenda pembangunan "Perak Sejahtera 2030" menerusi pemerkasaan gerbang digital sektor awam.










