Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti

20 MEI 2026 | 3 ZULHIJJAH 1447H | PUTRAJAYA

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang diketuai oleh YBrs. Tuan Zainudin bin Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK.

Delegasi tersebut telah disambut oleh YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM dalam satu sesi pertemuan rasmi yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh muhibah.

Pertemuan yang berlangsung hampir dua jam itu menjadi platform penting bagi kedua-dua agensi untuk berkongsi idea, bertukar pandangan serta memperkukuh kerjasama strategik khususnya dalam aspek pembangunan modal insan, rawatan dan pemulihan berteraskan penghayatan agama serta pelaksanaan program pembangunan komuniti.

Turut hadir dalam sesi kunjungan hormat tersebut ialah YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), YBrs. Dr. Muhammad Yamin bin Ismail, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, YBrs. Tuan Haji Amran bin Haji Awaludin, Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan JAKIM, YBrs. Dr. Mohd Rafidi bin Jusoh, Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, serta YBrs. Tuan Zakaria bin Othman, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Agama dan Pembangunan Insan AADK, bersama barisan pegawai kanan daripada kedua-dua agensi.

Antara perkara yang dibincangkan termasuklah usaha memperkasa modul rawatan dan pemulihan berteraskan psikospiritual Islam, penyelarasan program bersama, perkongsian kepakaran teknikal serta pemantapan sistem latihan kepada pegawai dan kumpulan sasar.

Kunjungan hormat ini turut mencerminkan hubungan dua hala yang erat antara JAKIM dan AADK dalam memperkukuh sinergi serta jaringan kerjasama strategik ke arah menjayakan agenda pembangunan ummah dan kesejahteraan masyarakat.

Sesi kunjungan hormat tersebut diakhiri dengan sesi bergambar sebagai tanda penghargaan serta simbolik hubungan kerjasama erat antara kedua-dua agensi.

Brigedier Jeneral Datuk Timbalan Ketua Pengarah JAKIM Terima Kunjungan Hormat Delegasi AADK 01

Brigedier Jeneral Datuk Timbalan Ketua Pengarah JAKIM Terima Kunjungan Hormat Delegasi AADK 02

Brigedier Jeneral Datuk Timbalan Ketua Pengarah JAKIM Terima Kunjungan Hormat Delegasi AADK 03

Brigedier Jeneral Datuk Timbalan Ketua Pengarah JAKIM Terima Kunjungan Hormat Delegasi AADK 04