KAJANG, 16 Jun 2026 : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat, AADK Negeri Selangor, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Masjid Taman Sutera Kajang telah berjaya menganjurkan Program Terapi Psikospiritual Islam (PTPI) Klien AADK bertempat di Masjid Taman Sutera Kajang, Selangor.
Program yang dijalankan secara berkala ini telah berjaya menarik minat para peserta dengan kehadiran melebihi sasaran. Seramai 75 orang peserta dalam kalangan Klien AADK yang berada di dalam tempoh pengawasan pihak AADK Hulu Langat telah hadir mengikuti program yang bermula dengan Tahsin Surah Al-Fatihah dan disusuli dengan Solat Sunat Dhuha dan Sunat Taubat secara berjemaah. Program kemudiannya diteruskan dengan slot 1: Terapi Zikir dan Makrifatun Nafs dan slot 2: Tahsin Thoharah dan Rawatan Diri melalui Ilaj Syarie yang disampaikan oleh penceramah jemputan dari Masjid Putra, Putrajaya, YBrs. Ustaz Mohd Mustafidurrohman bin Mohd Syahroni yang juga merupakan tenaga pengajar dan fasilitator KSK Care Centre JAKIM.
Program kolaborasi antara rakan strategik ini telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Hussein bin Raki selaku Setiausaha Masjid Taman Sutera Kajang dan turut dihadiri YBrs. Encik Mohd Rashidi bin Mohd Jamil dari Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, YBrs. Encik Shamsuri bin Nasri dari Bahagian Rawatan dan Pemulihan AADK Negeri Selangor, YBrs. Puan Nor Hafiza binti Mohd Salleh dari AADK Daerah Hulu Langat, barisan AJK Masjid Taman Sutera Kajang serta barisan urus setia dari JAKIM dan AADK.
Objektif utama penganjuran program adalah untuk membimbing dan merawat dalam usaha membantu memulihkan klien dengan menggunakan pendekatan spritual yang komprehensif (integrasi naql dan aql) disamping membantu transformasi diri (tazkiyyatun nafs) klien serta menjadikan institusi masjid sebagai one stop centre atau pusat bimbingan dan pemulihan bagi permasalahan gejala sosial.
Semoga program ini dapat membantu memulihkan para klien AADK dengan elemen pendekatan nurani dan dimensi spritual disamping mendekatkan hati dan jiwa sanubari para peserta dengan masjid. Secara tidak langsung, disinilah peranan komuniti dan institusi masjid yang bukan sahaja berperanan sebagai pusat ibadah semata-mata bahkan sebagai platform transformasi sosial kepada seluruh lapisan masyarakat dan umat Islam sejagat.






<