CYBERJAYA , 28 JUN 2026 - Kasih seorang bapa mungkin jarang diungkapkan dengan kata-kata, namun terpancar melalui setiap pengorbanan dan tanggungjawab yang dipikul demi keluarga. Bersempena tema "Sehebat Kasih Bapa", Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2026 menjadi wadah menghargai peranan besar seorang ayah dalam membina keluarga sejahtera dan masyarakat yang harmoni.
JAKIM menerusi Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) telah bersama-sama memeriahkan program tersebut yang berlangsung pada 28 Jun 2026 di Taman Tasik Cyberjaya. Penyertaan JAKIM dalam sambutan ini menjadi platform penting untuk memperluaskan kesedaran masyarakat mengenai Inisiatif Lelaki Qawwam, iaitu usaha memperkasa peranan lelaki sebagai pemimpin keluarga yang bertanggungjawab, penyayang dan berakhlak mulia.
Pelbagai aktiviti interaktif yang mendapat sambutan hangat di reruai JAKIM. Antaranya permainan Teka Ciri-Ciri Lelaki Qawwam, yang menguji pengetahuan peserta mengenai nilai dan karakter seorang lelaki qawwam. Selain itu, permainan Papa Qawwam Challenge turut mencuri perhatian apabila para bapa diuji dengan tugasan memakaikan pakaian bayi serta mengikat tali leher, simbolik kepada keseimbangan peranan seorang ayah dalam mengurus keluarga dan kehidupan seharian.
Majlis perasmian sambutan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Puan Lim Hui Ying. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), YBhg. Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff, dan Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), YBhg. Dato' Abdul Shukur Abdullah.
Dalam majlis yang sama, JAKIM yang diwakili oleh Puan Hazizah binti Yusoff, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, telah menerima Sijil Pelantikan Rakan Strategik Jaringan Pemerkasaan Lelaki daripada LPPKN. Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap komitmen berterusan JAKIM dalam memperkasa institusi keluarga dan memperkukuh peranan lelaki sebagai agen perubahan positif dalam masyarakat.
Penyertaan JAKIM dalam Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2026 ini diharap dapat terus menyemarakkan kesedaran bahawa pembinaan keluarga yang sejahtera bermula dengan kepimpinan seorang lelaki yang beriman, bertanggungjawab dan sentiasa hadir untuk melindungi serta membimbing keluarganya. Inilah semangat Lelaki Qawwam yang menjadi asas kepada pembentukan keluarga sakinah dan masyarakat MADANI.
#lelakiqawwam
#HariBapa2026
#JAKIMuntukUmmah
#MadaniMembantu







