Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Bangi, Selangor, 26 September 2016: Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) mencipta satu lagi sejarah dalam bidang latihan kepada komuniti antarabangsa dengan penganjuran Asia Pacific Imam’s Professionalism Course (IPC). ILIM mengambil pendekatan National Blue Ocean Strategy (NBOS) dalam pelaksanaan kursus ini dengan kolaborasi strategik bersama World Assembly of Muslim Youth (WAMY) cawangan Malaysia serta WAMY cawangan Australia dan Selatan Pasifik.

Bertemakan Lead to Inspire, IPC dihadiri oleh imam-imam yang ingin meningkatkan kemahiran kepemimpinan dan pengurusan mereka. Peserta yang terlibat adalah dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Nepal, Bangladesh dan negara-negara Selatan Pasifik seperti Papua New Guinea, Solomon Islands, Vanuatu dan Tonga.

Dalam ucapan sempena sesi Pembukaan dan Suai Kenal, Pengarah ILIM, menzahirkan kesyukuran dan kegembiraan atas kejayaan merealisasikan IPC kali ini dan mengucapkan jutaan penghargaan kepada pihak WAMY kerana sudi berkolaborasi dengan ILIM dalam penganjuran kursus ini. Beliau menekankan bahawa ILIM sentiasa mencari ruang dan peluang untuk bekerjasama dalam melaksanakan latihan Islami kepada masyarakat antarabangsa. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Antarabangsa ILIM.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WAMY Malaysia, Ustaz Shahrin Awaludin dalam ucapannya menegaskan bahawa peranan imam adalah sebagai pemimpin dalam komuniti dan WAMY sebagai sebuah pertubuhan belia antarabangsa menganjurkan IPC dengan tujuan untuk memupuk bakal-bakal imam yang peka, dan mempunyai kesedaran sivik yang tinggi, selaras dengan pengetahuan asas syariah dan tilawah, juga melengkapkan mereka dengan kemahiran pengurusan dan kendiri.

Pengisian kursus selama sebulan ini termasuklah seminar, bengkel dan lawatan ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta badan bukan kerajaan. Peserta akan diberi pendedahan tentang kepemimpinan, pengurusan masjid, kewangan dan pengucapan awam.

Semoga IPC berjaya menyumbang ke arah peningkatan kualiti kepemimpinan belia Islam di seluruh dunia.

 

IMG 20160926 WA0037

IMG 20160926 WA0042

IMG 20160926 WA0043

IMG 20160926 WA0045