Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
BANGI, 16 MEI - Kluster Ilmu Teras (KIT), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Seminar Al-Quran kali  ke-9 bersempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali ke-59 bertempat di Auditorium Al-Shafii, ILIM.

Bermula pada tahun 2009 hingga 2011, Seminar Al-Quran ini telah dianjurkan oleh Darul Quran, Jakim. Namun begitu atas faktor kesesuaian logistik, seminar ini telah dilaksanakan dan diurusetiakan oleh ILIM bermula tahun 2012 hingga kini. Objektif seminar ini diadakan adalah sebagai salah satu pendedahan dan perkongsian ilmu kepada para peserta tilawah yang terlibat, penjawat awam dan masyarakat dalam mendalami ilmu berkaitan al-Quran.

Seminar al-Quran kali ini adalah bertemakan "Pemerkasaan al-Quran Melalui Penghayatan Bacaan". Ianya memfokuskan kepada dua (2) subjek utama iaitu tajwid dan tarannum. Perkongsian kertas kerja berkaitan tajwid disampaikan oleh Dr. Khairul Anuar bin Mohammad, Pengarah Pusat Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang bertajuk "Hubungan Waqaf dan Ibtida’ dalam Tafsir al-Quran".Manakala kertas kerja kedua bertajuk "Pengaruh Tarannum Misri Terhadap Qari-qari Malaysia dan Pendekatan Uslub Bacaan Mereka" disampaikan oleh Ustaz Wan Hilmi bin Wan Abdullah, Pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang memfokuskan kepada kaedah tarannum yang masyhur di kalangan qari Mesir serta aplikasinya oleh qari-qari Malaysia.

Seminar kali ini dihadiri seramai 130 peserta terdiri daripada wakil Bahagian Jakim, JAWI, JAIN, MAIN dan Agensi Kerajaan sekitar Putrajaya dan kawasan berdekatan.

Perasmian penutup seminar kali ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin bin Jaafar, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, Jakim.