Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Bangi, 26 Mei 2017 – Kluster Kecemerlangan Kepimpinan Islam (KKKI), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Bengkel Hala Tuju Kecemerlangan Pengurusan Hal Ehwal Islam pada 25 dan 26 Mei 2017 bertempat di Bilik Ibn Khaldun, Blok Akademik A, ILIM. Bengkel ini merupakan rentetan idea dan cadangan penambahbaikan hasil dari ucaptama yang disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Dato' Hj. Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM dalam Wacana Eksekutif Tadbir Urus Islam Yang Baik; Lanskap Baharu Pengurusan Hal Ehwal islam di Malaysia pada 16 Mac 2017 yang lalu.

Memetik ucapan dari YBhg Ketua Pengarah JAKIM dalam program Wacana Eksekutif tersebut, ujar beliau agensi agama khususnya JAKIM, memerlukan "Lanskap Baharu Pengurusan Hal Ehwal Islam" yang mampu memperkasakan imej agensi agama itu sendiri terutama dalam aspek pengurusan, sumber manusia yang kompeten dan berintergriti tinggi, penyampaian perkhidmatan terbaik serta berimpak tinggi di samping mengukuhkan kolaborasi, team work  serta semangat setia kawan antara agensi federal dan negeri.

Justeru itu, bagi meneruskan kelangsungan ucapan YBhg Ketua Pengarah JAKIM tersebut, Tuan Haji Paimuzi bin Yahya, Ketua Eksekutif MAIWP merangkap YDP Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Ugama (PKPU) telah mencadangkan agar ILIM dengan kerjasama Alumni Diploma Pengurusan Islam (DPI) menganjur bengkel bagi membincangkan dan memperhalusi idea dan cadangan yang dikemukakan dalam wacana tersebut.

Selain dari ucaptama yang disampaikan oleh Tuan Haji Paimuzi bin Yahya, para peserta turut mengikuti ceramah yang disampaikan oleh YBhg Datuk Dr Mohamed Ghazali bin Md Noor (Penasihat Kanan, Tindakan Strategi Sdn Bhd) yang bertajuk “Sudut Pandang: Hala Tuju Kecemerlangan Pengurusan Hal Ehwal Islam di Malaysia. 

Seramai 30 orang pegawai-pegawai generasi muda JAKIM yang terdiri dari Alumni Diploma Pengurusan Islam (DPI) hadir dalam bengkel kali ini dengan dibimbing oleh 4 orang Mentor. Para peserta begitu bersemangat dan teruja membincangkan hala tuju kecemerlangan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia umumnya dan JAKIM khususnya agar pengurusan hal ehwal Islam akan lebih hebat dan kekal relevan pada masa akan datang.

Besarlah harapan agar bengkel yang diadakan ini menjadi sebagai salah satu wadah bagi menambahbaik Pengurusan Hal Ehwal Islam khususnya di JAKIM dan agensi agama Islam di Malaysia amnya.