Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Bangi, 7 Mac 2018 - Dewasa ini, telah berlaku pelbagai macam fenomena dan peristiwa yang menghiasi dunia moden ini. Kebanyakannya adalah masalah-masalah baharu yang belum ada ketentuan dan peraturan secara spesifik dalam nas al-Quran mahupun hadis.

Fenomena seperti terjahan teknologi maklumat (IT), media sosial baharu, gaya hidup, isu pluralisme, hak asasi manusia, demokrasi, sekularisme adalah antara masalah yang dihadapi umat Islam kini.

Menyedari kepentingan ini, Kolej Univesiti Islam Antarabangsa (KUIS) dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) menerusi Kluster Ilmu Teras telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Isu-Isu Semasa al-Quran dan Hadis pada 7 Mac 2018 bertempat di Dewan Datuk Mohd Shahir, ILIM, Bangi.  Program ini telah menarik penyertaan lebih 100 peserta daripada tokoh akademik, intelektual dan pelajar universiti.

Persidangan ini akan membuka cakerawala luas dan pemikiran progresif para pelajar dan penyelidik dalam mengkaji isu-isu semasa al-Quran dan al-Hadis.  Pelbagai tema kertas kerja telah dibentangkan seperti al-Quran dan Tafsir, Perubatan Islam, Tamadun, Syariah dan Perundangan, al-Sunnah, Bahasa dan Kesusasteraan, al-Quran dan Tahfiz dan Qiraat.

Konteks dunia hari ini di mana cabaran dan kecanggihan teknologi memberi kesan besar kepada sistem, budaya dan pola kehidupan umat Islam. Perkara ini menuntut para pemikir Islam bagi menyelesaikan dan mencari jalan keluar berasaskan kepada keagungan dan kesyumulan syariah Islam.

Apa yang menarik daripada persidangan ini ialah sesi Ucaptama 1 oleh Pensyarah KUIS, Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah dan Penolong Pengarah Kanan Jakim, Dr. Muhammad Hapizi Sulaiman bertajuk “ Keunggulan al-Quran Dalam Meniti Cabaran Arus Perdana”.

Persidangan ini diharapkan dapat menjadi platform dalam membincangkan dilema dan cabaran yang dihadapi oleh dunia Islam pada hari ini sekaligus mencambah idea positif yang praktikal sebagai solusi dan amalan berkesan dalam menghadapi isu serta cabaran global.

thiqah2

thiqah1

thiqah3

thiqah4

thiqah5