Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Bangi, 19 April 2018 - Kehidupan harian kita sentiasa terdedah dengan pelbagai jenis risiko yang wujud dalam bermacam bentuk.  Risiko boleh memberi kesan kurang menyenangkan kepada individu, sekumpulan individu mahupun sesebuah organisasi.  Risiko ini perlu diuruskan dengan baik bagi memastikan kesan buruk yang bakal wujud dapat diminimumkan.

Berikutan itu, Kluster Kecemerlangan Kepimpinan Islam, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Risiko pada 18 dan 19 April 2018 bertempat di Bilik al-Baitar, Aras 1, Blok Akademik B, ILIM Bangi. Seramai 16 orang peserta terdiri daripada penjawat awam daripada pelbagai agensi mengikuti kursus ini.

Pengurusan risiko adalah mengenal pasti, menilai, dan mengatur kepentingan risiko diikuti oleh penggunaan sumber secara teratur dan ekonomi bagi mengurangkan, memantau dan mengawal kemungkinan dan/ kesan peristiwa tidak diingini atau bagi memaksimakan penzahiran peluang.

Kursus ini dikendalikan oleh 2 orang penceramah berpengalaman dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Encik Daniel Hasni Mustafa dan Konsultan Minda Motif Resources, Encik Fadzil Ibrahim.

Kursus ini bertujuan membantu organisasi untuk mengenal pasti dan memanfaatkan peluang yang ada untuk mendapatkan kelebihan daya saing berterusan selain menambah ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap dalam menghadapi sesuatu krisis serta menilai persediaan menghadapi krisis dan mengurangkan risiko kerosakan serta kerugian dan kaedah mengurus sebarang risiko yang dihadapi.

Pengetahuan berkaitan pengurusan risiko yang menyeluruh perlu disokong oleh budaya risiko yang mantap bagi memperkukuhkan daya tahan organisasi serta membantu dalam meminimumkan risiko dan potensi kerugian.

pengurusan1

pengurusan2